Asif Ali Zardari dipilih sebagai Presiden Pakistan buat kali kedua

Bernama
Mac 9, 2024 23:18 MYT
Ahli perniagaan dan veteran politik Pakistan, Asif Ali Zardari pada Sabtu dipilih sebagai presiden negara itu buat kali kedua. - Foto REUTERS
NEW DELHI: Ahli perniagaan dan veteran politik Pakistan, Asif Ali Zardari pada Sabtu dipilih sebagai presiden negara itu buat kali kedua.
Zardari, 68, memenangi pilihan raya presiden mengalahkan calon pembangkang, Mahmood Khan Achakzai.
Beliau disokong oleh pakatan yang merangkumi Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N).
Achakzai pula disokong oleh Sunni Ittehad Council (SIC), sebuah gabungan politik yang juga disertai Ahli Parlimen dari parti Tehreek-e-Insaf Pakistan pimpinan Imran Khan.
Presiden Pakistan dipilih melalui undi tidak langsung dengan Kolej Elektoral terdiri daripada Ahli Parlimen dan dewan undangan wilayah.
Zardari pernah berkhidmat sebagai presiden Pakistan antara tahun 2008 dan 2013.
-- BERNAMA
#Asif Ali Zardari #Presiden Pakistan #Parti Rakyat Pakistan #Liga Muslim Pakistan-Nawaz
;