ASEAN25: APAEC dan APG keutamaan berkaitan tenaga - PETRA

Bernama
Januari 13, 2025 14:00 MYT
Malaysia secara rasminya menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menetapkan dua Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) berkaitan tenaga di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Dua keutamaan itu adalah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2025, Fasa 1: 2026 hingga 2030, dan Memorandum Persefahaman (MOU) Peningkatan Rangkaian Kuasa ASEAN (APG)
"Dua dokumen dasar ini penting untuk memastikan kerjasama yang berterusan antara negara anggota ASEAN bagi membangunkan industri tenaga, demi menjamin bekalan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN," menurut PETRA dalam kenyataan di sini hari ini.
PETRA memaklumkan inisiatif APG akan menjadi fokus dalam semua mesyuarat berkaitan, dengan tujuan memuktamadkan MOU APG pada tahun ini.
MOU tersebut akan menekankan peningkatan keupayaan infrastruktur penghantaran tenaga elektrik antara negara ASEAN, supaya lebih banyak tenaga bersih seperti hidro, solar, dan angin dapat diperdagangkan merentasi sempadan.
"Usaha ini akan mengoptimakan penggunaan sumber tenaga bersih, menjamin bekalan tenaga kepada rakyat dan memberi manfaat kepada negara-negara di rantau ASEAN," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, PETRA akan mempengerusikan tiga mesyuarat utama sektor tenaga: Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga di Langkawi, Kedah (22-24 Jan), Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga di Kuching, Sarawak (16-20 Jun), dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Kuala Lumpur (22-26 Sept).
Majlis Peluncuran Mesyuarat Tenaga ASEAN 2025 dengan tema "Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity" telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini.
Malaysia secara rasminya menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
#ASEAN25 #Malaysia #2025 #Petra
;