ASEAN tingkatkan bantuan kemanusiaan di Laos dan Myanmar susulan Taufan Yagi
Bernama
September 21, 2024 18:46 MYT
September 21, 2024 18:46 MYT
JAKARTA: ASEAN menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai US$12,800 dalam bentuk kit perlindungan dan pembaikan bagi menyokong komuniti yang terjejas akibat Taufan Yagi dan banjir di Laos, menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
AHA Centre mengesahkan bahawa In-Country Liaison Team (ICLT) memudahkan ketibaan bekalan ini pada Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos.
Bekalan itu diperoleh dari Gudang Serantau Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) di Subang, Malaysia, menurut pusat itu mengenai kemas kininya berhubung impak bencana alam itu.
Dengan kerjasama Pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMO) Laos dan Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar (DDM), pusat ini juga sedang mendapatkan bekalan bantuan tambahan dari Gudang Satelit DELSA di Chainat, Thailand.
"ICLT akan terus menyelaras dengan NDMO Laos mengenai ketibaan bekalan bantuan seterusnya," menurut kenyataan pusat itu.
Dalam usaha lanjut untuk menangani krisis ini, dua anggota ICLT di Yangon tiba di Nay Pyi Taw, Myanmar.
Mereka akan membantu dalam pengurusan maklumat dan operasi kecemasan, bekerja bersama DDM Myanmar untuk menilai keperluan dan meneroka sokongan daripada Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT).
Pada hari yang sama, AHA Centre mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengelola Khas untuk membincangkan bencana yang sedang melanda negara-negara anggota dan rancangan pusat itu untuk meneruskan sokongan pengurusan bencana.
Taufan Yagi yang melanda pada 11 Sept turut mengakibatkan banjir besar hingga menjejaskan Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam, manakala 666 kematian direkodkan dan 148 hilang setakat ini.
Di Laos, kira-kira 185,800 orang di 15 wilayah termasuk Vientiane Capital, mengakibatkan tujuh kematian.
Anggaran kerugian akibat kerosakan infrastruktur termasuk jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan, rumah dan kawasan pertanian, dianggarkan bernilai US$27.6 juta.
Di Myanmar, sekitar 586,000 orang terjejas, dengan 293 kematian dan 88 orang dilaporkan hilang. Ribut itu turut merosakkan sekitar 168,000 rumah, 113 bangunan pejabat, dan 996 sekolah.
Di Filipina, tiga juta orang terjejas, dengan 21 kematian, 26 orang hilang dan 22 cedera.
Thailand turut mengalami impak yang ketara dengan 30 wilayah termasuk Chiang Rai dan Chiang Mai terjejas, menjejaskan 150,400 isi rumah dan menyebabkan 46 kematian dengan banjir yang masih berterusan di lima wilayah.
Di Vietnam, sebanyak 299 kematian dan 34 orang hilang direkodkan, manakala 1,900 orang cedera akibat bencana itu.
Taufan Yagi turut memusnahkan lebih 234,980 rumah dan mengakibatkan kerugian dalam sektor pertanian, termasuk 200,200 hektar sawah yang terjejas dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah US$2.47 bilion.
-- BERNAMA