ASEAN: Tiada tempat untuk empayar dan pencerobohan di Indo-Pasifik - AS

Harits Asyraf Hasnan
November 15, 2018 11:57 MYT
Walaupun tidak menyebut China secara terbuka, namun Pence menegaskan bahawa negara paling kecil hingga terbesar sepatutnya mengecap kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence menegaskan tiada tempat untuk peluasan empayar mahupun pencerobohan di rantau Indo-Pasifik.
Bercakap pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-6, kenyataan Pence itu dilihat memberi indikasi kepada kebangkitan China di rantau itu.
Walaupun tidak menyebut China secara terbuka, namun beliau menegaskan bahawa negara paling kecil hingga terbesar sepatutnya mengecap kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.
“Kami mahukan Indo-Pasifik yang dianggotai negara-negara, daripada yang besar sehinggalah yang kecil, kekal makmur dan berkembang maju, selamat dengan kedaulatannya, mengamalkan nilai-nilainya dan kekal utuh bersama.
“Kami semua bersetuju bahawa pengwujudan empayar dan pencerobohan tiada tempat di Indo-Pasifik,” katanya dihadapan 10 pemimpin negara anggota ASEAN hari ini.
Tambahnya, Washington kekal komited untuk merealisasikan visi itu termasuk memacu pelaburan swasta menerusi pembangunan infrastruktur dan perdagangan yang bebas, adil dan timbal balik.
Beijing dan Washington yang kekal terperangkap dalam perang perdagangan yang mana masing-masing saling menaikkan tarif import mereka.
#Amerika Syarikat #APEC #AS #ASEAN #Beijing #China #Mike Pence #Singapura #Washington
;