ASEAN terima pakai dasar kawal selia farmaseutikal ke arah integrasi pasaran

Bernama
Julai 1, 2022 05:45 MYT
Menteri Kesihatan dan Menteri Ekonomi ASEAN telah menerima pakai Dasar Kawal Selia Farmaseutikal ASEAN (APRP) yang menyediakan asas untuk menstrukturkan sistem kawal selia produk farmaseutikal di seluruh rantau ini. -Gambar hiasan
JAKARTA: Menteri Kesihatan dan Menteri Ekonomi ASEAN telah menerima pakai Dasar Kawal Selia Farmaseutikal ASEAN (APRP) yang menyediakan asas untuk menstrukturkan sistem kawal selia produk farmaseutikal di seluruh rantau ini.
Menurut Sekretariat ASEAN, langkah itu membolehkan pengurangan halangan perdagangan dan meningkatkan penyelarasan keperluan pengawalseliaan dan kerjasama pengawal selia serta memastikan akses kepada produk farmaseutikal berkualiti tinggi, selamat dan berkesan.
"APRP dihasilkan menerusi kerjasama pegawai sektor kesihatan dan ekonomi dan merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi untuk integrasi pasaran sektor farmaseutikal di ASEAN," menurut sekretariat itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya.
Dasar ini menangani aspek berkaitan kualiti, keselamatan, keberkesanan dan ketersediaan farmaseutikal berdasarkan kedua-dua perspektif kesihatan dan perdagangan.
Ia menyediakan panduan yang akan digunakan untuk pengaturan kelulusan dan pengiktirafan, penyelarasan keperluan dan amalan kawal selia oleh institusi kerajaan dan mekanisme sokongan yang berkaitan bagi negara anggota ASEAN, untuk produk farmaseutikal di pasaran badan serantau itu.
APRP termasuk produk farmaseutikal seperti vaksin, penawar dan farmaseutikal kritikal atau untuk menyelamatkan nyawa yang lain, serta pembangunan produk, ujian, pembuatan dan pengedaran.
Dalam perkembangan lain, pegawai Sektor Kesihatan dan Ekonomi ASEAN kini terlibat dalam peringkat akhir perbincangan untuk penubuhan Rangka Kerja Pengawalseliaan Farmaseutikal ASEAN.
Ia sebagai tambahan kepada APRP dengan menyediakan rujukan bersama untuk pelaksanaannya, menurut sekretariat itu.
-- BERNAMA
#Menteri Kesihatan dan Menteri Ekonomi ASEAN #Dasar Kawal Selia Farmaseutikal ASEAN #APRP #sistem kawal selia produk farmaseutikal
;