ASEAN seru semua pihak di Myanmar usahakan persekitaran kondusif untuk sesi dialog
Bernama
Februari 3, 2022 17:17 MYT
Februari 3, 2022 17:17 MYT
JAKARTA: ASEAN menyeru semua pihak di Myanmar supaya mewujudkan persekitaran kondusif bagi sesi dialog untuk mencari jalan penyelesaian secara aman terhadap krisis semasa, serta mengulangi komitmen membantu negara itu berdasarkan Konsensus Lima Perkara (5-PCs).
Blok negara-negara Asia Tenggara itu juga menggariskan kepentingan menghentikan serta-merta keganasan, serta memastikan bantuan kemanusiaan selamat tiba pada masa yang tepat.
"Keamanan yang kukuh dan perdamaian nasional hanya mampu dicapai melalui penyelesaian politik inklusif rakyat dan kepimpinan Myanmar serta melibatkan semua pihak berkaitan," menurut kenyataan Pengerusi ASEAN, Samdech Techo Hun Sen yang disiarkan di laman web rasmi ASEAN pada Rabu.
ASEAN juga mengulangi gesaan kepada junta tentera membenarkan utusan khasnya, yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan Menteri Luar Prak Sokhonn, untuk mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkaitan bagi mengelakkan penderitaan berpanjangan rakyat Myanmar.
"Setelah setahun, negara anggota ASEAN kekal prihatin dengan perkembangan di Myanmar, termasuk laporan keganasan berterusan dan keadaan rakyatnya yang semakin sengasara.
"Menelusuri usaha serius yang telah dilakukan bagi membantu menyelesaikan krisis, termasuk lawatan Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen ke Myanmar baru-baru ini, ASEAN menggesa pihak berkuasa Myanmar mengambil tindakan kukuh untuk melaksanakan 5-PC secara berkesan dan sepenuhnya," menurut kenyataan itu.
ASEAN mengalu-alukan sokongan berterusan daripada rakan kongsi luar dalam usaha melaksanakan 5-PC yang pantas dan sepenuhnya, termasuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.
ASEAN mencapai kata sepakat mengenai Konsensus Lima Perkara pada 24 April 2021, iaitu menamatkan keganasan, mengadakan perbincangan yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan, ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, pelantikan Duta Khas ASEAN untuk menjalankan perjumpaan, dan utusan itu dibenarkan melawat negara berkenaan.
Hun Sen mengadakan pertemuan dengan ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing pada 7 Jan, menyaksikan lawatan pertama pemimpin asing sejak rampasan kuasa tentera pada Februari, 2021.
Myanmar bergolak sejak 1 Feb 2021 apabila ketua angkatan tentera Jeneral Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam kebangkitan rakyat yang berlaku selepas itu.
-- BERNAMA