ASEAN sambut baik perubahan sikap negara kuasa besar terhadap isu Palestin

Syafik Shukri Jalil
Julai 27, 2024 14:04 MYT
ASEAN mengalu-alukan perubahan sikap dan pendirian beberapa negara kuasa besar dalam isu melibatkan rakyat Palestin yang terus menerus diperlakukan secara kejam oleh rejim Zionis, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Astro AWANI
VIENTIANE: ASEAN mengalu-alukan perubahan sikap dan pendirian beberapa negara kuasa besar dalam isu melibatkan rakyat Palestin yang terus menerus diperlakukan secara kejam oleh rejim Zionis, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ringkasan AI
  • ASEAN mengalu-alukan perubahan sikap beberapa negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Norway, dan Kesatuan Eropah yang kini lebih menyokong rakyat Palestin dan menentang kekejaman rejim Zionis.
  • United Kingdom telah menyatakan pendirian untuk memulihkan bantuan dana kepada UNRWA dan menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin.
  • ASEAN berharap Amerika Syarikat akan mengambil tindakan tegas dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Ujarnya, perubahan mendadak ini terserlah bukan sahaja menerusi kenyataan dibuat calon Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris yang bertanding menggantikan Joe Biden atas tiket Demokrat, baru-baru ini.
Malah, ia dizahirkan menerusi beberapa siri pertemuan dengan barisan Menteri Luar negara dialog ASEAN yang turut menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Laos.
"Alhamdullilah Norway nampaknya sebagai negara yang kuat menyokong isu Palestin bahkan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell juga merupakan penyokong kuat kepada isu Palestin.
"Nampaknya satu perubahan sikap yang amat ketara yang saya boleh lihat ialah daripada United Kingdom yang dulu begitu lantang bersuara untuk membela rejim Zionis.
"Hari ini pertemuan saya dengan David Lammy yang merupakan Setiausaha Luar British begitu jelas menyatakan pendirian United Kingdom berkenaan isu Palestin dengan menyatakan bahawa akan memulihkan semula bantuan dana kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
"(David Lammy) juga menyatakan bahawa mereka mahu melihat kekejaman Israel ini dapat dihentikan segera," katanya.
Pada masa sama, Mohamad mengatakan suara sama turut dinyatakan rakan sejawatannya dari Kanada dan New Zealand.
"Kanada menyatakan rasa simpati tetapi mahu melihat sama ada penyelesaian dua negara ini boleh diterjemahkan atau sebaliknya.
"Kanada juga telah memulihkan juga sumbangan mereka kepada UNRWA malah banyak juga negara-negara Eropah dan rakan-rakan dialog yang telah pun mengubah pendirian," katanya lagi.
Mengulas mengenai pertemuan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken, Mohamad berkata isu sama sekali lagi ditekankan dan wakil Washington memperakui kenyataan dibuat oleh Malaysia di pentas ASEAN.
"Beliau memperakukan apa yang saya suarakan, tetapi isunya bagaimana nak dijayakan, saya katakan pada dia (Blinken), the key is with you.
"Kunci pada pihak Amerika, tetapi kalau mereka bertanya kepada kita "how to do it" saya rasa itu adalah sesuatu perkara yang amat ganjillah.
"Saya berharap tidak ada pihak yang berlakon-lakon, kalau di depan kita dia berlakon, di belakang dia lain, susah juga.
"Untuk itu, ASEAN berharap Amerika Syarikat benar-benar bertanggungjawab dalam isu penyelesaian kekejaman terhadap rakyat Palestin ini," ujarnya.
#ASEAN #Negara kuasa besar #isu Palestin #Mohamad Hasan