ASEAN perlu tingkat kemahiran bagi kemajuan pendigitalan
Bernama
Jun 13, 2022 12:59 MYT
Jun 13, 2022 12:59 MYT
KUALA LUMPUR: Pendigitalan akan menjadi pemacu utama pemulihan ekonomi di ASEAN susulan impak buruk pandemik COVID-19, kata panelis Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Pengerusi Eksekutif Qi Group Datuk Seri Vijay Eswaran.
Beliau berkata pada 2021 misalnya, jumlah pengguna internet di ASEAN meningkat lebih 10 peratus kepada 400 juta orang dan hampir 70 peratus daripada penduduk ASEAN adalah pengguna dalam talian yang mengatasi kadar global pada 60 peratus.
"Nilai ekonomi digital rantau ini pada masa ini adalah lebih AS$100 bilion.
"Bagaimanapun, bagi kebanyakan rakyat ASEAN, kualiti internet yang buruk serta mahal, masalah peranti digital, kekurangan kemahiran dan kebimbangan mengenai aspek jaminan dan keselamatan telah menghalang usaha bagi meraih manfaat daripada keterangkuman ekonomi digital," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Vijay berpendapat bahawa ASEAN perlu bertindak meningkatkan kemahiran para pekerja dengan lebih pantas bagi menangani isu kekangan terhadap penerimagunaan digital tersebut.
Malah, katanya, terdapat keperluan segera untuk terus menawarkan inisiatif latihan dan meningkatkan kemahiran bagi memastikan generasi digital ini mempunyai persediaan sewajarnya bagi dunia pasca-pandemik serta tempoh seterusnya.
"Bagi memacu transformasi digital serta seiring dengan norma baharu, kalangan perniagaan juga perlu segera bekerjasama dengan vendor atau perniagaan yang berpendirian lebih maju dan dapat memberi kemudahan secara terjamin bagi tujuan transformasi digital pada hari ini serta mengelak halangan pada tempoh selepas itu," katanya.
-- BERNAMA