ASEAN perlu rangka formula baharu selesaikan krisis di Myanmar - SAC-M

Bernama
Ogos 7, 2022 19:08 MYT
Lee berkata pemimpin ASEAN perlu berhenti berharap ketua tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing untuk melaksanakan 5PC. - Bernama
BANGKOK: ASEAN perlu merangka formula baharu untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, kata ahli pengasas Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) Yanghee Lee.
"Konsensus Lima Perkara (5PC) jelas tidak berkesan," katanya dalam satu kenyataan.
5PC, yang dipersetujui ketika Mesyuarat Pemimpin ASEAN (ALM) di Jakarta pada April 2021, menyeru agar keganasan dihentikan segera di negara itu, diadakan dialog melibatkan semua pihak yang berkenaan, pelantikan utusan khas ASEAN untuk memudahkan pengantaraan, penyediaan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN, dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak berkaitan.
Bagaimanapun, 5PC telah gagal membuahkan hasil seperti yang diharapkan selepas lebih satu tahun persetujuan mengenai perkara itu dimeterai.
Lee berkata pemimpin ASEAN perlu berhenti berharap ketua tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing untuk melaksanakan 5PC.
"Rampasan kuasanya gagal... beliau tidak mempunyai strategi," katanya.
Menteri-menteri Luar dari sembilan daripada sepuluh negara anggota ASEAN mengakhiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM-55) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan selepas bersidang tiga hari di Phnom Penh pada Jumaat dengan menyuarakan kekecewaan mereka tehadap komitmen dan kemajuan kurang memberangsangkan yang ditunjukkan junta Myanmar dalam melaksanakan 5PC.
Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin tidak dijemput menghadiri AMM-55.
Dalam Pernyataan Bersama selepas AMM-55, blok itu juga memaklumkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN pada November adalah platform untuk menilai kemajuan pelaksanaan 5PC oleh Majlis Pentadbiran Negeri di bawah junta bagi membimbing keputusan mengenai langkah yang perlu diambil seterusnya.
Keputusan boleh dibuat oleh Sidang Kemuncak ASEAN dalam situasi di mana konsensus antara sepuluh negara anggota ASEAN tidak dapat dicapai, menurut Perkara 20 Piagam ASEAN.
Sementara itu, seorang lagi pengasas SAC-M, Marzuki Darusman berkata keputusan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN telah meletakkan asas yang kukuh untuk penilaian Pemimpin ASEAN pada November.
"Sidang kemuncak (November) mesti menjadi titik perubahan bagi ASEAN.
Semakin lambat ASEAN mengambil sebarang tindakan, semakin besar penderitaan rakyat Myanmar.
"Sekurang-kurangnya, keganasan mesti dihentikan.
"Junta perlu menanggung akibat dan semua mata bakal tertumpu kepada Sidang Kemuncak itu untuk mengambil sebarang tindakan," katanya.
Pada 2 Ogos, sehari sebelum AMM-55, Hlaing berkata beberapa perkara dalam 5PC yang dipersetujui dengan ASEAN untuk menamatkan krisis berterusan negara itu akan dilaksanakan tahun ini.
Pada Rabu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen selaku pengerusi ASEAN berkata jika junta Myanmar menghukum lebih ramai tahanan, blok itu terpaksa memikirkan semula peranan '5PC ASEAN'.
Sementara itu, Chris Sidoti dari SAC-M menggesa ASEAN bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), kerajaan bayangan yang diharamkan oleh junta tentera negara itu.
"NUG adalah wakil sah rakyat Myanmar, dan semakin berkuasa di negara ini serta kerajaan yang sah dari segi undang-undang, serta pihak yang sesuai bagi ASEAN untuk menjalin kerjasama," katanya.
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah semasa AMM-55 di Phnom Penh telah mencadangkan supaya dialog antara ASEAN dan semua pihak berkepentingan di Myanmar dipercepatkan dan menjadikannya lebih inklusif, termasuk membabitkan NUG dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC).
Tentera Myanmar mengambil alih kuasa pada 1 Februari 2021 dan menahan pemimpin Aung San Suu Kyi serta aktivis politik yang lain.
Sejak rampasan kuasa yang diketuai oleh Jeneral Hlaing, sekurang-kurangnya 2,114 orang telah terbunuh di Myanmar.
-- BERNAMA
#ASEAN #Myanmar #konsesnsus lima perkara #keganasan
;