ASEAN perlu pertingkat kerjasama dengan rakan luar tangani COVID-19
Bernama
Ogos 4, 2021 22:57 MYT
Ogos 4, 2021 22:57 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Luar ASEAN pada Rabu menekankan pentingnya memperkukuh kerjasama dengan rakan luar dan organisasi antarabangsa untuk menangani cabaran pandemik COVID-19.
Menteri-menteri luar menyatakan perkara ini dalam pernyataan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 yang dikeluarkan.
"Kami mengalu-alukan sumbangan berterusan dari negara anggota ASEAN dan rakan luar kepada Dana Tindak Balas COVID-19 ASEAN yang kini telah mengumpul sumbangan berjumlah US$20.8 juta.
"Kami juga menyambut baik penggunaan dana tersebut untuk memperoleh vaksin COVID-19 buat penduduk ASEAN dan petugas Sekretariat ASEAN melalui Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), untuk membantu memastikan penduduk ASEAN diberi vaksin, kerana " tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat," menurut pernyataan itu.
Para menteri juga berharap Rizab Bekalan Perubatan Rantau ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam (RRMS) dapat beroperasi untuk meningkatkan daya tahan serantau dalam menangani keadaan kecemasan perubatan.
Mereka juga mengalu-alukan sumbangan bekalan perubatan oleh negara anggota ASEAN, rakan luar ASEAN, organisasi antarabangsa, dan sumber lain.
Merujuk keperluan meningkatkan pengeluaran dan pengedaran vaksin di rantau ini, menteri luar ASEAN menyeru peningkatan kerjasama dan perkongsian pengalaman dengan rakan-rakan ASEAN dalam penyelidikan, pembangunan, pengeluaran dan pengedaran vaksin.
Menyediakan akses kepada ubat-ubatan COVID-19 yang saksama, memastikan vaksin COVID-19 tersedia dan mampu dimiliki semua sebagai keperluan awam global, serta membuat persediaan terhadap kemungkinan keadaan kecemasan kesihatan awam pada masa depan, turut mendapat perhatian mesyuarat menteri luar itu.
Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan Pelan Pelaksanaannya, yang berfungsi sebagai strategi gabungan agar ASEAN muncul lebih kuat dan berdaya tahan selepas pandemik COVID-19.
Sementara itu,mengenai Laut China Selatan, para menteri menekankan perlunya mengekalkan dan mempromosi persekitaran yang kondusif untuk rundingan Kod Tata Laku (COC).
Justeru, mesyuarat menyambut baik langkah-langkah praktikal yang dapat mengurangkan ketegangan, salah faham dan salah perhitungan.
"Kami mengulangi pendirian mengenai pentingnya menegakkan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982," menurut pernyataan bersama itu.
Dalam mesyuarat itu juga, beberapa menteri menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Laut China Selatan.
Justeru, mesyuarat sepakat mengenai pentingnya mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan, kesejahteraan, dan kebebasan navigasi di laut dan udara Laut China Selatan.
-- BERNAMA