ASEAN, AS perlu 'memandang ke hadapan' dalam perkongsian strategik menyeluruh - PM Thai Prayuth

Bernama
Mei 14, 2022 06:15 MYT
Prayuth mengesyorkan ASEAN dan AS meningkatkan usaha kolektif untuk membina 'landskap baharu' dalam tiga bidang iaitu keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim. - Gambar fail/AP
BANGKOK: ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) harus "memandang ke hadapan" dan bergerak ke arah perkongsian strategik yang komprehensif untuk membangunkan wilayah yang aman, kukuh dan berdaya tahan menuju ke 'Next Normal', kata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.
Prayuth mengesyorkan ASEAN dan AS meningkatkan usaha kolektif untuk membina 'landskap baharu' dalam tiga bidang iaitu keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim semasa pertemuan antara pemimpin ASEAN dan Presiden Joe Biden di Washington pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).
"Bidang kerjasama yang dicadangkan akan membawa perkongsian strategik ASEAN-AS ke lembaran baharu dan membuktikan kepentingan kerjasama ASEAN-AS dalam menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini," katanya.
Mengenai "landskap keselamatan yang kondusif kepada pemulihan dan pertumbuhan yang mampan", Prayuth berkata ia boleh direalisasikan dengan acuan serantau dan persekitaran yang kukuh.
Prayuth berharap semua pemain utama, termasuk AS, sebuah kuasa dunia yang telah lama menjadi rakan dan rakan kongsi ASEAN, akan bekerjasama untuk mencari penyelesaian kepada kelemahan dan cabaran kompleks.
ASEAN bersedia untuk mengambil bahagian dalam usaha itu, sebagai platform serantau yang penting, untuk menghubungkan semua pemain utama bagi mewujudkan landskap geopolitik yang aman," katanya.
Mengenai "landskap ekonomi yang didorong teknologi digital dan rantaian bekalan yang kukuh", Prayuth mencadangkan agar ASEAN dan AS mempercepat perbincangan mengenai hubungan antara ASEAN Single Window dan sistem import-eksport AS untuk memudahkan pergerakan rentas sempadan barangan.
Dalam jangka panjang, perdana menteri yakin ASEAN mempunyai potensi untuk menjadi penting kepada rantaian bekalan AS, terutamanya dalam pembuatan Kenderaan Elektrik (EV), bekalan dan industri perubatan, dan bioteknologi.
"Sejak penularan pandemik COVID-19, bilangan pengguna digital di ASEAN meningkat kepada 60 juta yang menunjukkan bahawa rantau ini bakal menjadi pasaran digital utama dunia tidak lama lagi.
"Fokus harus dibuat untuk menggalakkan akses mudah kepada semua orang dan meningkatkan kapasiti digital buruh dan usahawan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat baharu, untuk meningkatkan daya saing digital.
"Pandemik COVID-19 telah menekankan kepentingan hubungan rantaian bekalan yang kukuh," katanya.
Sementara mengenai bidang ketiga, "landskap untuk tindakan iklim yang lebih berkuasa", Prayuth berkata Thailand melihat usaha kolektif setiap negara diperlukan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi seiring dengan perlindungan alam sekitar dan peningkatan keselamatan manusia.
"Thailand telah menyatakan kesediaannya, pada Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Persidangan Pihak-Pihak mengenai Perubahan Iklim (COP26), agar lebih agresif dalam menangani cabaran perubahan iklim dalam setiap cara yang mungkin, dengan menyasarkan untuk mencapai neutraliti karbon pada 2050, dan Pelepasan Sifar Bersih Gas Rumah Hijau pada atau sebelum 2065.
"Sekiranya ASEAN dan AS bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pelaburan dan pemindahan teknologi dalam industri rendah karbon, infrastruktur hijau dan tenaga bersih, serta sokongan kewangan yang mampan, negara anggota ASEAN, termasuk Thailand, akan dapat mencapai matlamat itu lebih awal, " katanya.
Selaku Pengerusi APEC tahun ini, Prayuth turut mengalu-alukan Biden mengadakan lawatan ke Thailand untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada November tahun ini.
-- BERNAMA
#ASEAN-AS #memandang ke hadapan #Prayuth Chan o-cha #APEC
;