ASEAN perlu lebih 'sense of urgency' kendali isu Myanmar
Bernama
Ogos 24, 2022 17:40 MYT
Ogos 24, 2022 17:40 MYT
KUANTAN: ASEAN perlu mempunyai lebih 'sense of urgency' dalam mengendalikan isu berkaitan Myanmar dan tidak hanya bergantung pada satu mesyuarat ke mesyuarat yang lain, kerana keadaannya sudah berlanjutan lama dan menjadi semakin buruk.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, jika sekali pun masih memerlukan mesyuarat perkara itu boleh dilakukan pada bila-bila masa menggunakan teknologi kerana pertemuan akan datang adalah pada November ini.
Selain itu, beliau juga menyuarakan rasa tidak berpuas hati dengan laporan dan data-data berkaitan perkembangan di Myanmar seperti jumlah pertempuran, mangsa yang terbunuh dan ditahan serta mereka yang menjadi pelarian, yang tidak disampaikan dengan tepat dan terkini kepada beliau atau menteri-menteri luar ASEAN lain.
"Saya akan menulis kepada Sekretariat ASEAN untuk menteri-menteri luar harus membuat penilaian tentang keadaan sebenar dalam Myanmar. Apa sebenarnya yang sedang berlaku dengan angka-angka tepat dan terkini harus sentiasa dikemas kini.
"Kita tidak boleh menunggu lagi satu mesyuarat dan seterusnya. Kita di ASEAN menguruskan isu ini dengan mesyuarat dan saya fikir ini tidak boleh lagi. Malaysia sedia bantu dalam hal untuk menyegerakan bantuan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram di sini hari ini.
Selain itu, Saifuddin berkata laporan perkembangan bantuan kemanusiaan yang disampaikan melalui pasukan petugas khas ditubuhkan ASEAN bersama Junta Myanmar juga tidak menggalakkan.
Beliau berpandangan dalam hal ini ASEAN harus menilai kedudukan bantuan tersebut.
"... adakah itu caranya yang perlu diteruskan atau perlu ditambah baik atau perlu mencari jalan lain untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang masih berada dalam Myanmar kerana bantuan itu sangat diperlukan.
"Terdapat sejumlah local-based organisations yang nampaknya berjaya menjalankan tugas mereka seperti mengelolakan suntikan vaksin dan menyampaikan bantuan kemanusiaan dengan cara sendirian tanpa kerjasama Junta kerana mereka tidak percaya kepada pihak itu," katanya.
Menteri Luar itu berkata terdapat juga organisasi antarabangsa dan pihak yang berminat menaja bantuan kemanusian kepada Myanmar, namun mereka ragu-ragu jika bantuan kemanusiaan itu boleh disampaikan dengan kerjasama Junta.
Katanya adalah penting untuk meneruskan keterlibatan dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).
Tambahnya, beliau juga telah menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wakil dua pihak itu dalam masa terdekat, sama ada secara fizikal atau persidangan video.
-- BERNAMA