ASEAN perlu langkah lebih berkesan tangani isu Myanmar - Anwar

Astro Awani
Mac 7, 2023 23:13 MYT
Menurut Anwar, yang berlaku di Myanmar itu turut memberi kesan kepada negara lain di rantau ini, termasuk Malaysia. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Negara-negara ASEAN perlu mempertimbangkan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk menyelesaikan krisis yang berlaku di Myanmar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, konflik yang berlaku di Myanmar itu turut memberi kesan kepada negara lain di rantau ini, termasuk Malaysia.
Bercakap pada sesi interaksi dengan 106 ketua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara, di sini pada Selasa, Anwar berkata beliau pernah menyuarakan isu ini kepada rakan sejawatannya di ASEAN.
"Pada setiap sesi pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand dan Singapura, Presiden Filipina dan Indonesia, saya menegaskan ASEAN mesti terus terbabit, ya, tetapi kemudian turut memikirkan kaedah lain yang efektif bagi menyelesaikan perkara ini kerana jika tidak, kita turut terpalit dengan kekejaman, bukan saja di Myanmar tetapi juga kita," katanya.
Beliau berkata krisis di Myanmar telah menyebabkan kebanjiran pelarian yang melarikan diri dari negara itu, menyaksikan Malaysia kini menerima kira-kira 200,000 pelarian Rohingya.
Katanya, isu pelarian menjadi bertambah parah dengan keengganan junta tentera Myanmar untuk berunding dan menghormati negara jiran ASEAN.
Anwar berkata naratif lama mengenai penglibatan membina, sudah tidak relevan lagi kerana ASEAN telah melaksanakan perkara sama sejak empat dekad lalu dan badan serantau 10 anggota itu tidak wajar mengabaikan isu itu hanya kerana dasar tidak campur tangan.
"Ya, tiada campur tangan (dasar), saya tidak sarankan kita harus campur tangan...tetapi ia telah menyebabkan kita mengalami kesukaran ekonomi dan kesan politik. Oleh itu, kita tidak boleh untuk menghiraukannya," kata beliau.
Sambil melindungi kepentingan Malaysia, Anwar berkata Malaysia perlu mengambil pendirian dalam isu ini dan mempertahankannya.
"Apa relevannya dengan Madani? Madani adalah satu usaha untuk memastikan kita berjaya sebagai sebuah negara, aman, tetapi juga mampu menyumbang kepada kemanusiaan. Jadi kita kena mengambil pendirian," katanya
Konsep Madani diperkenalkan Perdana Menteri pada Januari yang berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Mengenai pegawai diplomatik, Anwar berkata memandangkan cabaran antarabangsa boleh berlaku secara spontan dan serentak, Malaysia memerlukan profesional diplomatik yang cekap untuk membolehkan mereka mampu memahami, berurusan dan menasihati kerajaan dengan sewajarnya.
Beliau turut memuji inisiatif Wisma Putra dalam melibatkan diplomat kanan atau yang telah bersara untuk melatih dan memberi pendedahan yang diperlukan kepada diplomat muda.
"Banyak usaha pembelajaran diplomatik yang boleh menjadikan mereka layak secara profesional, tanpa menafikan hakikat bahawa usaha diplomatik kita pada umumnya cemerlang berbanding kebanyakan negara membangun," kata Anwar.
Bertemakan 'Diplomasi dalam Dunia Globalisasi dari Lensa Malaysia Madani', sesi interaksi itu merupakan penglibatan pertama Perdana Menteri dengan ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang melibatkan duta besar, pesuruhjaya tinggi, wakil tetap, konsul jeneral dan kuasa usaha sementara.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Malaysia #ASEAN #isu Myanmar #Rohingya #pelarian
;