ASEAN perlu kerjasama teliti kerangka kawal selia internet - Fahmi

Bernama
Julai 29, 2024 21:45 MYT
Fahmi berkata perbincangan mengenai kerangka itu kini diketuai Thailand dan akan diteruskan apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun depan. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: ASEAN perlu bekerjasama dalam meneliti kerangka kawal selia lebih tegas memastikan ekosistem internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga di rantau ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perbincangan mengenai kerangka itu kini diketuai Thailand dan akan diteruskan apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun depan.
Menurut Fahmi, hasrat itu turut mendapat sokongan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura Josephine Teo dalam mesyuarat bilateral, pada Isnin.
"Pertemuan ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara dua kementerian, tapi memperlihat satu usaha di mana kedua-dua kami akan menyampaikan pandangan yang senada dalam isu ini ke peringkat ASEAN, terutama apabila Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun depan.
"Ini satu langkah yang positif dan mampu menjadikan suasana dan ekosistem Internet di Malaysia, Singapura dan rantau Asia Tenggara lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata Teo turut menyambut baik hasrat Malaysia untuk memperkenalkan kerangka kawal selia baharu berkaitan Internet selamat untuk kanak-kanak dan keluarga mulai 1 Ogos dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.
Menerusi kerangka baharu itu, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Singapura mempunyai rangka kawal selia ke atas platform media sosial di negara itu sejak 2022.
Pada Isnin, Fahmi turut melawat Pusat Ketelusan dan Akauntabiliti (TAC) TikTok di ibu pejabatnya, di sini.
Fahmi dan delegasi Malaysia yang terdiri daripada pegawai Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi taklimat mengenai operasi TikTok, termasuk Garis Panduan Komuniti dan sistem pengesyoran platform itu.
Menteri juga berpeluang mengalami simulasi 'stesen kerja penyederhanaan' di TikTok.
TAC Singapura dibuka sejak akhir tahun lalu adalah yang pertama di Asia Pasifik. Sehingga kini, TikTok telah menerima lebih 300 tetamu daripada kumpulan masyarakat sivil, pengawal selia dan rakan kongsi industri.
Fahmi berada di Singapura untuk lawatan kerja tiga hari, kebanyakannya untuk bertemu dengan pengendali platform media sosial bagi mengadakan perbincangan mengenai isu seperti penipuan, buli siber, pornografi dan 'troll farm'.
-- BERNAMA
#buli siber #pornografi #media sosial #MCMC
;