ASEAN perlu ada CDC sendiri - Dr Jemilah Mahmood

Bernama
Januari 20, 2021 23:08 MYT
Harapan Dr Jemilah disuarakan di sesi webinar berhubung COVID-19 anjuran Singapore Temasek Foundation, yang membawa tema "Do Good Together". - BERNAMA
SINGAPURA: Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood menyuarakan harapannya agar negara-negara ASEAN akan memiliki Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) serantau.
Harapannya itu disuarakan di sesi webinar berhubung COVID-19 anjuran Singapore Temasek Foundation di sini, yang membawa tema "Do Good Together".
"Saya yang mencetuskan idea mengenai CDC ASEAN ini. Ia akan membantu kita untuk mencari penyelesaian dengan kos lebih rendah bagi rantau ini, dan menghimpunkan sumber-sumber serta idea kita berkaitan inovasi," kata Dr Jemilah yang merupakan salah seorang ahli panel sesi pertama yang bertajuk "International Collaboration and Partnerships".
Beliau berkata tidak ada sebab mengapa ASEAN tidak boleh mengadakan persetujuan serantau berhubung pengiktirafan, misalnya berkaitan vaksin, di mana kelulusan oleh salah satu negara akan membolehkan lain-lain negara serantau untuk menerima dan turut mengguna pakainya.
"Jadi saya rasa ada banyak ruang untuk penambahbaikan dalam aspek kerjasama pelbagai hala," katanya.
Merujuk kepada kemampanan CDC itu, Dr Jemilah berkata perlu ada komitmen dari negara-negara anggota ASEAN untuk membiayai penubuhan sistem yang akan memberi manfaat kepada ekonomi dan penduduk negara anggota berkenaan.
"Kita perlu bersungguh-sungguh dalam pelaburan kita untuk rantau ini, tapi saya juga rasakan dengan dunia kini bergerak dan berubah dengan pantas, dan kemusnahan memberi kesan yang berbeza antara rantau, negara, dan konteks dalam cara yang berbeza. Jadi kita perlu tingkatkan kepelbagaian dalam mencari penyelesaian," katanya.
Pengarah Urusan (community stewardship) Temasek International, Shaun Seow menjadi moderator sesi perbincangan hari ini.
Ditanya sekiranya sesebuah negara perlu berkongsi kisah-kisah kegagalan yan dialami dalam menangani COVID-19, Dr Jemilah berkata "Saya rasa Sweden cukup berani apabila ia mengakui bahawa pendekatan mereka dalam melaksanakan imunisasi berkumpulan, adalah tidak betul".
"Kita belajar dengan baik menerusi beberapa jenis kegagalan yang kita lakukan. Saya benar-benar menggalakkan agar kita terlibat dalam perbincangan yang ikhlas sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran," katanya.
Jemilah turut menyuarakan kebimbangannya akan tiba satu masa nanti apabila muncul peluang yang tidak sekata bagi penduduk negara-negara sedang membangun untuk bebas bergerak merentasi sempadan, kerana ia akan mempunyai kaitan kepada aspek ketersediaan vaksin dan pengagihan ekuiti.
Menurutnya ketika ini negara-negara di dunia sedang menyaksikan kerja-kerja penggubalan peraturan dan undang-undang di sempadan negara masing-masing bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.
Lain-lain ahli panel sesi adalah pengarah eksekutif, Bioinformatics Institute, A*STAR Singapore, Dr Sebastian Maurer-Stroh; Ketua Saintis Kesihatan Kementerian Kesihatan Singapura Prof Tan Chorh Chuan; dan Duta Besar Indonesia di Singapura, Suryo Pratomo.
-- BERNAMA
#ASEAN #COVID-19 #pandemik #vaksin #kesihatan #pelaburan #CDC #CDC Asean #Dr Jemilah Mahmood
;