ASEAN mesti serius tangani cabaran yang jejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem digital - Singapura
Bernama
Februari 1, 2024 18:00 MYT
Februari 1, 2024 18:00 MYT
SINGAPURA: Kerajaan setiap negara anggota ASEAN perlu serius menangani cabaran yang menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem digital, menurut Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura Josephine Teo.
"Secara khususnya, kita perlu berusaha lebih tegas dalam memerangi penipuan yang dilakukan dengan bantuan teknologi digital," katanya dalam ucapan pada perasmian Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) kali keempat pada Khamis.
Memetik Global Anti-Scam Alliance, Teo berkata sejumlah AS$1.4 trilion hilang akibat penipuan di seluruh dunia antara Ogos 2022 hingga Ogos 2023 dan di Asia sahaja lebih 60 peratus mangsa mengalami sekurang-kurangnya satu penipuan setiap minggu.
"Penipuan kini menjadi masalah transnasional dengan penjenayah dan sindiket jenayah siber menggunakan alat digital untuk beroperasi secara meluas dan pantas yang merentasi sempadan," katanya.
Menurut kenyataan oleh Kementerian Komunikasi dan Maklumat (MCI) republik itu, Singapura mempengerusikan dan menganjurkan ADGMIN itu selama dua hari mulai Khamis (1 Feb).
Mesyuarat itu dihadiri perwakilan dari negara anggota ASEAN bersama Rakan Dialog dan Pembangunan seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.
Malaysia diwakili oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.
"Penyertaan aktif negara-negara ini menggariskan kepentingan yang semakin meningkat bagi domain digital dan usaha digital rantau ASEAN," menurut kementerian itu.
MCI berkata ADGMIN tahun ini menerima penyertaan Timor-Leste sebagai pemerhati.
Teo mempengerusikan mesyuarat itu manakala Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand Prasert Janthararuangthong sebagai Naib Pengerusi.
Tema ADGMIN tahun ini ialah "Building an Inclusive and Trusted Digital Ecosystem".
ADGMIN 2024 berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan usaha kerjasama negara anggota ASEAN dalam mentransformasikan rantau ini secara digital.
"Usaha kolektif ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan digital setiap warga ASEAN, memupuk persekitaran yang bersedia untuk menerima teknologi baharu muncul dan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan perniagaan," kata kementerian itu.
-- BERNAMA