ASEAN mampu bangkit dan menjadi kuasa berpengaruh global
Bernama
Ogos 8, 2023 23:41 MYT
Ogos 8, 2023 23:41 MYT
KUALA LUMPUR: ASEAN boleh menjadi kuasa berpengaruh dalam membantu mengurus cabaran yang semakin meningkat dalam dinamik Indo-Pasifik yang berkembang, kata saintis geopolitik Dr Johan Saravanamuttu.
Bagaimanapun, beliau berkata blok itu mesti mengekalkan prinsip berkecuali dan keperantaraan dalam menangani potensi pasca orde dunia hegemoni dalam persekitaran hibridisasi politik semasa global.
"ASEAN boleh mengambil tempat yang lebih kukuh. Kini banyak isu muncul di rantau Indo-Pasifik dan ASEAN mampu menjadi platform pertemuan bagi membawa masuk semua protagonis untuk berdialog dalam kumpulan yang lebih besar bagi mengurangkan ketegangan," katanya kepada Bernama selepas Indo Pacifc Dialogue: The Emerging Indo-Pacific Order - ASEAN, Malaysia and the EU Perspectives, di sini pada Selasa.
Dialog itu juga bertepatan dengan Hari ASEAN (8 Ogos).
Beliau berkata ASEAN sebagai kuasa tengah sudah pun menggunakan sistem dialognya seperti dalam Forum Serantau ASEAN (ARF) dan dalam tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan.
Namun, beliau yakin ASEAN mampu menjadi lebih proaktif dan dapat memainkan peranan lebih besar untuk tujuan itu.
"ASEAN melibatkan neutralisme positif. Ia bukan hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Ia sentiasa mengusahakan sesuatu. Ia sudah wujud dan hanya memerlukan dorongan tambahan," katanya.
Johan yang juga felow kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura berpendapat bahawa ASEAN juga harus lebih lantang dalam banyak isu geopolitik dan keselamatan di rantau ini dan dunia.
Sebagai contoh, dalam kes AUKUS yang dijangkakan boleh memberi kesan kepada keselamatan rantau Asia Tenggara.
Pengarah Pusat Serantau ASEAN Universiti Malaya (CARUM) Dr Rahul Mishra pula berkata ASEAN boleh bersuara lebih lantang untuk terus kekal relevan berdasarkan kewujudkan ancaman bukan keselamatan di seluruh dunia.
"ASEAN boleh memain peranan lebih penting di peringkat global, terutama sejak pandemik COVID-19 yang menyaksikan wujud cabaran keselamatan bukan tradisional yang lebih besar dihadapi oleh dunia.
"Sebagai contoh, ia boleh menggunakan diplomasi kesihatan sebagai saluran, dengan mewujudkan mekanisme yang mantap dan melibatkan aktor antarabangsa untuk bersedia menghadapi sebarang wabak pada masa hadapan," katanya.
ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA