ASEAN: Malaysia sumbang AS$200,000 bantu proses keanggotaan Timor-Leste

Bernama
Februari 6, 2025 18:06 MYT
Mohamad berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memastikan keanggotaan Timor-Leste menjadi salah satu keutamaan dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia menyumbang AS$200,000 kepada Unit Timor-Leste, yang akan beroperasi di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia untuk membantu dan memudahkan proses pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke ASEAN.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan memimpin usaha mempercepat dan mempermudah pelaksanaan pelan hala tuju itu, terutama dalam aspek yang melibatkan 88 Instrumen Undang-Undang serta perjanjian ASEAN yang perlu disertai oleh Timor-Leste.
"Daripada jumlah tersebut, 69 perjanjian dan instrumen berada di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), 13 di bawah Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), serta enam lagi dalam Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
"Semasa di Vientiane, Malaysia cadangkan agar tidaklah perlu Timor-Leste penuhi 88 instrumen ini, penuhi 20 hingga 30 peratus pun memadai, kita bagi tempoh supaya penuhi perlahan-lahan untuk dapat kita serap atau jadikan sebagai rakan ASEAN tetap pada tahun ini," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung peranan Malaysia dalam proses keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan inisiatif strategik memperkukuh pembangunan kapasiti negara itu.
Mohamad berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memastikan keanggotaan Timor-Leste menjadi salah satu keutamaan dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN.
Beliau berkata Timor-Leste telah memohon untuk menyertai ASEAN sejak 2011 dan ASEAN secara berperingkat telah menilai serta membantu negara itu memenuhi syarat keanggotaan penuh.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh pada November 2022, ASEAN secara prinsip bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pemenuhan kriteria dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh, katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #ASEAN 2025 #Timor-Leste #Mohamad Hasan
;