ASEAN-Korea Selatan wujudkan sinergi
Rahimah Abdullah
November 26, 2019 13:30 MYT
November 26, 2019 13:30 MYT
ASEAN menerima dengan terbuka Dasar Baharu Selatan dilaksanakan Korea Selatan dalam usaha meningkatkan hubungan strategik kedua-dua pihak.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa berkata, apa yang penting ASEAN dan Korea Selatan perlu mencari sinergi melalui dua dasar berkenaan.
“Dalam pembangunan bandar pintar, Korea Selatan adalah salah sebuah negara yang mempunyai teknologi paling canggih dengan penyelesaian bandar pintar.
“Meningkatkan akses bersama kepada inovasi dan teknologi membantu mencapai ekonomi yang berdaya saing, pembangunan mampan dan kualiti kehidupan yang tinggi,” katanya semasa sesi plenari 2: Enhancing Connectivity Toward Prosperity and Sustainability di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan (BEXCO) di sini pada Selasa.
Bagi Malaysia, Perdana Menteri berkata, negara gembira dengan kemajuan yang dicapai dalam projek-projek pembangunan bandar pintar bersama-sama dengan Korea Selatan di Kota Kinabalu, dalam pengurusan air pintar dan pembangunan bandar pintar yang baharu.
Dalam aspek kerjasama sosio-budaya, katanya, ASEAN dan Korea Selatan boleh memajukan lagi pelbagai program yang lebih komprehensif meliputi kesenian, kebudayaan dan pemahaman sosial untuk mengukuhkan lagi hubungan masyarakat.
“ASEAN-Korea Selatan juga perlu mengukuhkan kerjasama pendidikan dengan menggalakkan dan meningkatkan perkongsian akademik, dan memanfaatkan rangkaian dan program sedia ada seperti Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) dan Program Pertukaran Akademik ASEAN-Korea,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, ASEAN dan Korea Selatan melihat kepentingan rangkaian perhubungan pengangkutan udara yang lebih baik untuk kedua-dua pihak.
“Kami menantikan kesimpulan awal mengenai perjanjian perkhidmatan udara yang lebih liberal dan saling menguntungkan antara ASEAN dan Korea Selatan yang akan meningkatkan lagi hubungan masyarakat,” tambahnya.