AS, ASEAN jalin usaha sama strategik baharu pada Sidang Kemuncak ASEAN

Bernama
November 13, 2022 13:17 MYT
Diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-10 di Phnom Penh, Kemboja, Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS bertujuan untuk membuka bidang kerjasama baharu. - REUTERS
PHNOM PENH: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan pemimpin ASEAN pada Sabtu mengumumkan permulaan perkongsian strategik baharu yang bertujuan untuk menangani pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.
Diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-10 di Phnom Penh, Kemboja, Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS bertujuan untuk membuka bidang kerjasama baharu yang penting demi kemakmuran dan keselamatan masa depan gabungan 1 bilion penduduk kami, menurut deklarasi yang dikeluarkan.
White House berkata perkongsian baharu itu termasuk AS$150 juta dalam program untuk ASEAN yang akan digabungkan dengan lebih AS$800 juta yang telah dipohon pada tahun fiskal 2023 untuk program dua hala di negara anggota ASEAN.
Lebih AS$12 bilion bantuan pembangunan, ekonomi, kesihatan dan keselamatan telah disalurkan oleh AS kepada anggota ASEAN sejak 2002.
Perkongsian itu mencerminkan "komitmen mendalam Pentadbiran Biden-Harris terhadap peranan utama ASEAN di rantau Indo-Pasifik", United Press International (UPI) memetik kenyataan yang dibacakan, sambil menambah bahawa ia membawa Washington dan anggota ASEAN lebih dekat untuk bersama-sama menangani cabaran berkaitan iklim, jaminan makanan dan ancaman keselamatan, "serta membina Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, stabil dan makmur, berdaya tahan dan selamat".
Kepentingan bersama ekonomi seperti penyelidikan kenderaan elektrik, tenaga hijau, ketersambungan yang lebih luas dan pembangunan mampan akan ditekankan di bawah perjanjian itu, katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika Biden tiba di Phnom Penh pada Sabtu susulan kehadirannya pada sidang kemuncak iklim COP 27 di Mesir dan bertemu Perdana Menteri Kemboja yang juga Pengerusi ASEAN 2022 Hun Sen.
"Selain membincangkan perkongsian strategik baharu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan krisis di Myanmar dan tindak balas ASEAN, menggariskan peranan penting masyarakat antarabangsa dalam mempromosi usaha mengembalikan demokrasi dan kestabilan di negara itu," kata White House.
Biden juga "menyatakan penghargaannya kerana Kemboja menaja bersama resolusi menyokong Ukraine menentang pencerobohan kejam Rusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataannya yang dibacakan pada mesyuarat itu.
-- BERNAMA
#Sidang Kemuncak ASEAN #kerjasama AS ASEAN #Joe Biden #Phnom Penh
;