ASEAN iktiraf usaha Malaysia tangani penyebaran maklumat palsu
Bernama
November 15, 2023 16:50 MYT
November 15, 2023 16:50 MYT
BALI: ASEAN mengiktiraf usaha-usaha Malaysia untuk membanteras maklumat palsu dengan mendedahkan latihan berkaitan fact-checking kepada orang ramai.
Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN Piti Srisangnam berkata latihan fact-checking merupakan usaha kolektif dalam membanteras maklumat palsu dan salah lapor, menerusi Digital Literacy Programme (DLP) ASEAN.
"Acara malam ini adalah penting kerana kitu berkumpul untuk meraikan dan mengucapkan tahniah kepada pencapaian cemerlang jurulatih utama (master trainer) kita, ahli Kumpulan Penasihat Belia ASEAN yang berdedikasi, dan rakan pelaksana tempatan kita yang tidak terhingga nilainya.
"Kerjasama melalui usaha di lapangan telah menterjemahkan visi kita kepada tindakan yang memberi impak, menjangkau masyarakat dan membuat perubahan ketara dalam memerangi maklumat salah," katanya dalam ucapan perasmiannya pada Malam Apresiasi Forum Impak DLP ASEAN di sini, semalam.
ASEAN DLP ialah program anjuran Yayasan ASEAN dengan kerjasama Google.org yang telah memperkasakan lebih 190,000 orang di seluruh ASEAN dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan.
Pada malam penghargaan meraikan lebih 70 peserta itu, Malaysia diwakili Fatin Najmi Mohammad Shah dari MyCheck Malaysia yang menjalankan usaha semakan fakta.
Fatin Najmi terpilih sebagai 'master trainer' terbaik di antara 102 pelatih di Malaysia dan telah melatih 151 peserta di dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu Pengarah Serantau Asia Center James Gomez, Ahli ASEAN Youth Advisory Group di Malaysia Ryan Chua dan Mentor ASEAN Youth Advisory Group di Malaysia Ambika Sangaran, turut menerima sijil penghargaan atas usaha mereka mendidik masyarakat mengenai maklumat palsu.
Sementara itu, wakil tetap Malaysia ke ASEAN Datuk Nur Izzah Wong Mee Choo berkata kerjasama antara negara ASEAN adalah amat penting dalam membanteras berita palsu.
"Mungkin kita boleh wujudkan satu medium komunikasi seperti hotline antara wakil setiap negara ASEAN kerana ada kejadian yang ditularkan berlaku di Malaysia sebenarnya berlaku di negara jiran.
"Ini akan memudahkan usaha semakan fakta dilakukan dan dikongsikan antara rakan ASEAN. Medium itu tidak hanya melibatkan kerajaan, malah wakil dari setiap masyarakat," katanya.
Nur Izzah juga menggalakkan masyarakat menyuarakan pendapat jika terdapat sebarang `kelemahan' yang boleh ditangani di peringkat pembuat dasar.
Sementara itu wakil tetap Indonesia ke ASEAN, Duta Besar M.I. Derry Aman berkata landskap digital adalah medan pertempuran maklumat, dan semua pihak mesti bersatu dan tegas dalam mencari kebenaran.
"Salah maklumat dan maklumat palsu boleh merebak seperti api, dan master trainer kita berada di barisan hadapan untuk memastikan maklumat yang sampai kepada komuniti adalah boleh dipercayai, berfakta dan jujur," katanya.
"Mereka (master trainer) telah membantu membina landskap digital yang berteraskan kebenaran dan integriti. Kita hargai kerja keras dan komitmen yang tidak berbelah bagi mereka terhadap cita-cita ASEAN yang boleh dipercayai dan bermaklumat," katanya ketika merasmikan Forum Impak DLP ASEAN, semalam.
Beliau berkata dengan menyokong program seperti ASEAN DLP, pihak berkenaan sebenarnya sedang melabur dalam pemerkasaan rakyat, pengukuhan masyarakat, dan pengukuhan perpaduan di rantau ini.
"Saya yakin bahawa kerjasama dan pelbagai pandangan akan terungkap dalam beberapa hari akan datang yang akan menjadi mercu tanda harapan dan pemangkin kepada perubahan positif," tambahnya.
-- BERNAMA