ASEAN harap tingkatkan kerjasama dengan PBB demi capai kesaksamaan jantina
Bernama
Mac 9, 2023 14:32 MYT
Mac 9, 2023 14:32 MYT
JAKARTA: ASEAN berharap untuk mempertingkatkan kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya bagi mencapai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita dan kanak-kanak, kata Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia Bintang Puspayoga.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada Sesi Tahunan Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (CSW) ke-67 bertemakan 'Innovation and Change in Technology and Education in the Digital Era to Achieve Gender Equality and Empowerment for All Women and Girls ' yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat dari 6-17 Mac.
Menurut Puspayoga, mesyuarat CSW adalah platform untuk berkongsi kemajuan dan cabaran dalam mencapai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan bagi golongan itu dalam era digital, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik media tempatan.
Dalam tempoh 55 tahun lalu, ASEAN telah mempamerkan kemajuan dan pencapaian luar biasa, namun negara-negara anggota terus bergelut dengan pelbagai cabaran, termasuk impak COVID-19 yang tidak seimbang terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, manakala impak terbesar adalah dalam bentuk kehilangan pekerjaan dan pendapatan, katanya.
"Impak lain turut menjejaskan pelbagai bidang, seperti pendidikan, ekonomi, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.
"Dengan cabaran ini, ASEAN telah memperkukuh kerjasama erat untuk meningkatkan peranan wanita demi keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan dalam era digital," katanya.
Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa ASEAN akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi serantau dan global.
-- BERNAMA