ASEAN gesa Tatmadaw laksana segera Konsensus Lima Perkara
Bernama
Januari 10, 2023 12:24 MYT
Januari 10, 2023 12:24 MYT
SINGAPURA: ASEAN menggesa tentera Myanmar atau Tatmadaw supaya melaksanakan Konsensus Lima Perkara "dengan segera dan sepenuhnya", kata Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Menteri itu berkata pasukan tentera juga digesa bekerjasama dengan ASEAN dan bakal Duta Khas Pengerusi ASEAN di Myanmar untuk mencapai kemajuan yang ketara, termasuk memberi akses kepada Duta Khas menemui semua pihak yang terlibat di Myanmar.
Balakrishnan berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di parlimen mengenai "sejauh mana terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan Negara Anggota ASEAN mengenai pendekatan yang perlu diambil berhubung situasi politik di Myanmar."
Menurutnya, ASEAN telah mengambil pendekatan "tegas dan konsisten" terhadap situasi di Myanmar berikutan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021.
Konsensus Lima Perkara itu dirumuskan oleh Pemimpin ASEAN dan diterima oleh Jeneral Kanan pimpinan junta Min Aung Hlaing pada mesyuarat mereka pada 24 April 2021 di Jakarta, menurutnya dalam jawapan itu.
Namun katanya ASEAN "tetap kecewa terhadap kemajuan terhad yang dicapai dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara berkenaan."
Sehubungan itu, katanya, Pemimpin ASEAN mengesahkan semula Konsensus Lima Perkara itu pada Sidang Kemuncak ASEAN pada November 2022, dan "bersetuju mengenai beberapa langkah untuk memberi isyarat jelas kepada tentera Myanmar".
Konsensus Lima Perkara itu ialah: menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan yang membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; utusan khas ASEAN dilantik untuk mengendalikan rundingan; dan membenarkan utusan khas berkenaan melawat negara itu.
-- BERNAMA