ASEAN gesa sokongan rakan dialog pastikan Israel hentikan kekejaman di Palestin

Syafik Shukri Jalil
Julai 26, 2024 12:21 MYT
Menurut Mohamad, blok itu pada masa sama turut menggesa rejim Zionis untuk mematuhi dan menghormati keputusan terbaharu oleh ICJ baru-baru ini. - Gambar Wisma Putra
VIENTIANE: ASEAN terus menggesa rakan-rakan dialog blok itu untuk memastikan Israel menghentikan agenda kekejaman yang berterusan di Palestin.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, blok itu pada masa sama turut menggesa rejim Zionis untuk mematuhi dan menghormati keputusan terbaharu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini.
“Kita menggesa rakan-rakan dialog untuk memastikan Israel mematuhi keputusan-keputusan oleh ICJ dan resolusi yang telah diluluskan Resolusi 2735 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai situasi di Gaza yang baru-baru ini diputuskan ICJ.
“Jadi dengan setiap negara rakan dialog, Malaysia juga membawa isu Gaza dan perkara bagi menggesa Israel memberhentikan pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
“Seterusnya akur kepada keputusan-keputusan dan resolusi-resolusi yang telah diputuskan baik oleh perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB,” katanya selepas mengadakan beberapa pertemuan bilateral bersama rakan dialog ASEAN lain antaranya Australia, India dan Turkiye pada Jumaat.
Malah jelasnya, isu sama juga akan terus dibangkitkan menerusi pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken yang dijadualkan pada Sabtu petang.
Selain itu ujarnya, ASEAN turut menggesa rakan-rakan dialog dapat menyatakan sokongan mereka dalam agenda penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Dalam masa yang sama, dalam sidang atau mesyuarat bersama rakan-rakan dialog, kita (ASEAN) juga mahu supaya rakan-rakan dialog memberikan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata Rusia menerusi Menteri Luarnya, Sergei Lavrov juga senada dengan pendirian ASEAN dan turut menggesa agar gencatan senjata dapat disegerakan di Palestin.
Semasa pertemuan dengan semua Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Jumaat, Lavrov juga menyuarakan sokongan berterusan Moscow dalam isu perjuangan rakyat Palestin.
“Saya menghargai peranan dimainkan oleh pihak Rusia selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNSC).
“Rusia dengan tegasnya menyokong perjuangan rakyat Palestin selama ini dan saya menyatakan juga kepada beliau bahawa Malaysia berharap supaya Rusia terus memainkan peranan supaya kita dapat mencapai gencatan senjata di Palestin,” katanya.
#ASEAN #gencatan senjata #ICJ #rejim Zionis