ASEAN gesa pelaksanaan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata antara Israel-Hamas

Bernama
Januari 22, 2025 21:33 MYT
ASEAN menggesa semua pihak untuk mengekalkan keadaan yang kondusif bagi pelaksanaan penuh perjanjian itu. - AP
JAKARTA: ASEAN menggesa pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza serta menyeru dihentikan segera keganasan dan semua tawanan serta tahanan dibebaskan, termasuk rakyat dari negara anggota ASEAN.
ASEAN juga menggesa semua pihak untuk mengekalkan keadaan yang kondusif bagi pelaksanaan penuh perjanjian itu, mematuhi terma-terma dengan sebenar-benarnya dan berusaha ke arah penyelesaian yang komprehensif dan kekal selari dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang relevan.
"Perjanjian ini merupakan langkah penting untuk mengakhiri konflik, termasuk mencegah penderitaan berterusan dan kehilangan nyawa.
"Kami berharap ia juga akan memupuk keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau ini, untuk membina semula masyarakat Palestin," menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi ASEAN.
ASEAN turut menggesa semua pihak untuk mengusahakan penyelesaian damai bagi konflik ini dan penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi UNSC dan Perhimpunan Agung PBB yang relevan, termasuk kemasukan anggota baharu ke dalam PBB yang diterima pada 10 Mei 2024, yang disokong oleh semua anggota ASEAN.
ASEAN turut menggesa penyampaian bantuan kemanusiaan dengan selamat dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin, termasuk menerusi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat, serta pembinaan semula Gaza dengan segera.
Persatuan itu menyambut baik perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari dan memuji usaha Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebagai pengantara perjanjian berkenaan.
-- BERNAMA
#ASEAN #perjanjian #gencatan senjata #Hamas #Israel #Palestin
;