ASEAN gesa kekalkan keamanan di Laut China Selatan, segera muktamadkan CoC - PM Anwar

Syafik Shukri Jalil
Oktober 10, 2024 13:42 MYT
Anwar bersama Sultan Hassanal Bolkiah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), hari ini. - Bernama
VIENTIANE: ASEAN menggesa semua pihak untuk menyatakan komitmen mengenai kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, demikian gesaan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • ASEAN menggesa komitmen semua pihak untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.
  • ASEAN mendesak penyelesaian segera Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan bagi memastikan kestabilan di kawasan tersebut.
  • ASEAN dan China menyokong usaha kerjasama dalam peralihan tenaga, teknologi baru, serta melanjutkan Tahun Pertukaran Antara Rakyat ASEAN-China sehingga 2025.

Ujarnya, ia selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Menurut satu kenyataan, ASEAN pada masa sama juga menyeru agar Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kestabilan di kawasan tersebut.
Anwar berkata demikian menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-China yang berlangsung Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, ASEAN juga mengalu-alukan sokongan China terhadap usaha peralihan tenaga dan menyeru kerjasama dalam teknologi baru seperti robotik dan kecerdasan buatan.
Ujarnya lagi, ASEAN juga mengalu-alukan Kenyataan Bersama mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam Pertukaran Antara Rakyat, serta menyokong cadangan China untuk melanjutkan Tahun Pertukaran Antara Rakyat ASEAN-China sehingga 2025.
Sejak tahun 2020, ASEAN dan China menjadi rakan dagangan terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua pihak mencecah RM2.99 trillion atau AS$696.7 bilion pada tahun lalu.
#ASEAN #Laut China Selatan #Malaysia #Anwar Ibrahim #terkini
;