ASEAN gerakkan dua bantuan terakhir ke Myanmar pada 16 Jun, 22 Jun
Bernama
Jun 6, 2023 05:15 MYT
Jun 6, 2023 05:15 MYT
JAKARTA: Pusat Koordinasi ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (AHA Centre) akan menggerakkan dua kumpulan terakhir barangan bantuan ke Myanmar pada 16 Jun dan 22 Jun melalui jalan laut.
Bantuan kemanusiaan terbabit bagi menyokong usaha bantuan kecemasan di Myanmar susulan bencana buruk akibat Siklon MOCHA bulan lalu serta mencerminkan solidariti ASEAN terhadap rakyat mereka.
Barang bantuan itu terdiri daripada barang bukan makanan, kit kebersihan diri dan sanitasi, dan dijangka tiba di negara itu pada 20 Jun dan 27 Jun, menurut kenyataan pengerusi ASEAN.
Kumpulan pertama bantuan kemanusiaan ASEAN tiba di Myanmar pada 21 Mei dan merupakan antara sokongan kecemasan pertama yang diterima oleh komuniti terjejas.
ASEAN juga telah memulakan perbincangan dalaman mengenai sokongan yang mungkin bagi fasa pemulihan berdasarkan penilaian Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT).
ASEAN-ERAT telah menyiapkan penilaian keperluan awal mereka di kawasan yang terjejas pada 30 Mei.
Sehingga 2 Jun, AHA Centre menyerahkan barangan bantuan untuk komuniti yang terjejas di daerah Sittwe, Rathedaung, KyaukTaw, dan Ponnagyun.
Barang bantuan bernilai US$1.64 juta dihantar ke Myanmar dari pusat logistik kecemasan bencana ASEAN di Subang, Malaysia.
-- BERNAMA