ASEAN diseru tingkatkan kemahiran tenaga kerja, reformasi pasaran buruh
Bernama
Oktober 30, 2024 23:30 MYT
Oktober 30, 2024 23:30 MYT
SINGAPURA: ASEAN mesti menumpukan usaha untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, menambah baik peraturan pasaran buruh, dan memupuk pertumbuhan ekonomi inklusif bagi mengharungi cabaran kritikal yang dihadapi sektor buruh di rantau ini dengan berkesan, kata Setiausaha Agungnya, Dr Kao Kim Hourn.
Kao berkata dengan menumpukan perhatian kepada bidang ini, ASEAN boleh membina pasaran buruh yang lebih berdaya tahan dan saksama yang lebih memenuhi keperluan rantau yang pelbagai dan dinamik.
"Sektor buruh di rantau kita berdepan dengan cabaran kritikal lain. Kelaziman pekerjaan tidak formal masih banyak berlaku yang sering menyebabkan pekerja tidak mendapat perlindungan dan faedah yang mencukupi.
"Selain itu, kesan perubahan iklim dan bencana alam menimbulkan risiko berulang kepada mata pencarian, terutamanya dalam ekonomi yang bergantung kepada pertanian, memaksa golongan muda berhijrah ke bandar atau luar negara untuk mencari pekerjaan," katanya pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-28 di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau dikongsi di laman sesawang ASEAN.
Kao menyatakan bahawa sektor buruh di peringkat global dan dalam rantau ASEAN sedang mengalami transformasi ketara yang didorong oleh kemajuan teknologi, perubahan ekonomi dan perubahan demografi.
Beliau berkata automasi dan kecerdasan buatan (AI) sedang membentuk semula landskap pekerjaan, dengan peralihan kepada peranan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi sambil memberi cabaran kepada sektor pekerjaan tradisional.
Selain itu, peningkatan kerja jarak jauh dan ekonomi gig turut mengubah corak pekerjaan yang mencabar peraturan dan perlindungan buruh tradisional.
"Menangani cabaran ini memerlukan dasar penyesuaian yang menyokong latihan semula tenaga kerja dan akses saksama kepada peluang yang muncul," katanya.
Kao berkata ALMM telah menjadi platform utama ASEAN untuk menangani isu buruh serantau selama lima dekad dan telah mengatasi cabaran kritikal seperti hubungan pekerjaan, kesejahteraan pekerja, dan pembangunan kemahiran.
Sementara itu, beliau menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan keadaan dan perlindungan pasaran buruh telah dipergiatkan memandangkan peranan pentingnya dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
"Dengan ekonomi ASEAN diunjurkan berkembang pada kadar 4.7 peratus untuk 2024 dan bakal menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, pengukuhan rangka kerja buruh kami adalah penting untuk kejayaan yang berterusan," katanya.
Kao turut menekankan kepentingan kerjasama rentas tonggak dan rentas sektor untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi sektor buruh di rantau ini.
Beliau berkata ASEAN mesti mengamalkan pendekatan komprehensif yang memastikan penyelarasan berkesan di pelbagai sektor, termasuk pendidikan, perancangan ekonomi, kewangan dan pelaburan, serta kebajikan dan perlindungan sosial.
-- BERNAMA