ASEAN disaran wujud silibus berkaitan sosiobudaya masyarakat di sekolah, universiti

Bernama
Ogos 9, 2016 16:11 MYT
Rais merancang mengembalikan semula penganjuran Kongres Budaya yang bukan sekadar menjurus budaya Melayu tetapi merangkumi cara hidup lebih luas melibatkan masyarakat majmuk. - Gambar fail
Negara anggota ASEAN disaran mewujudkan silibus berkaitan sosiobudaya masyarakatnya di peringkat sekolah mahupun universiti dalam usaha berkongsi dan memahami budaya dalam komuniti ASEAN.
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sebagai langkah awal, Malaysia perlu memulakan usaha berkenaan bagi membolehkan rakyat di negara ini menanam minat berterusan mengenali sejarah dan budaya masyarakat itu.
"Subjek berkaitan budaya masih belum mendapat perhatian di negara ASEAN untuk membentuk masyarakat yang kita perlukan dalam menghadapi cabaran-cabaran yang datang dari Barat dan sosial media.
"Sudah sampai masa, ASEAN memain peranan yang lebih penting dalam sistem pendidikannya supaya menterjemahkan perkara berkaitan masyarakat sosial budaya yang disebutkan dalam perlembagaan ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Sejarah dan Budaya mengenai Masyarakat Melayu, Kepulauan Melayu di sini, hari ini.
Persidangan itu bertemakan 'Sejarah dan Budaya Sewaktu Pra-Kolonial Kepulauan Melayu'.
Sementara itu, Rais merancang mengembalikan semula penganjuran Kongres Budaya yang bukan sekadar menjurus budaya Melayu tetapi merangkumi cara hidup lebih luas melibatkan masyarakat majmuk.
"Saya sudah jumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencadangkan supaya kita mengadakan kongres itu pada tahun hadapan bagi menimba pengalaman, pandangan kaum cerdik pandai termasuk menzahirkan beberapa cadangan membina negara bangsa yang baru di negara ini," katanya.
Kali terakhir negara mengadakan Kongres Budaya adalah pada 1971 apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein memberi ucaptamanya dalam kongres yang dianjurkan secara besar-besaran itu, katanya.
#ASEAN #komuniti ASEAN #pendidikan #Rais Yatim #sosiobudaya masyarakat
;