ASEAN digesa lebih tegas dalam isu tebus guna tanah Laut China Selatan

Tan Su Lin
April 26, 2015 18:22 MYT
Albert del Rosario berkata masanya sudah tiba bagi ASEAN bersuara dan menyatakan kepada China bahawa tindakan itu adalah salah dan patut dihentikan segera. - Gambar Fail
Filipina hari ini mendesak ASEAN menyatakan pendirian tegas bagi membantah kegiatan menebus guna tanah di Laut China Selatan yang mencetuskan kebimbangan di kalangan negara anggota kumpulan itu.
Setiausaha Kementerian Luar Filipina, Albert del Rosario berkata masanya sudah tiba bagi ASEAN bersuara dan menyatakan kepada China bahawa tindakan itu adalah salah dan patut dihentikan segera.
Antaranya, tindakan tebus guna tanah itu dilihat sebagai satu ancaman untuk mengukuhkan kuasa tentera China di rantau ini, selain mencabul hak dan kedaulatan negara lain serta merosakkan alam sekitar marin.
"Ancaman yang ditimbulkan oleh aktiviti tebus guna kawasan Laut China Selatan secara besar-besaran ini adalah nyata dan tidak boleh diabai atau dinafikan, " kata Albert dalam ucapannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN 2015 di ibu negara.
Beliau turut berkata akibat daripada isu penambakan itu, Filipina terpaksa menanggung beban bagi pihak ASEAN dan komuniti antarabangsa.
Tambahnya, jika kegiatan itu dibenarkan berterusan, China akan menguasai secara tidak sah di lebih daripada 85 peratus kawasan di Laut China Selatan
"ASEAN perlu menegaskan kepimpinannya dalam hal ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa ia mempunyai tekad untuk bertindak demi kepentingan umum.
"Justeru, jika ASEAN berdiam diri mengenai isu itu, maka ia akan melemahkan semangat keutamaan, perpaduan dan kredibiliti ASEAN," katanya.
Pertikaian di Laut China Selatan melibatkan antara China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Taiwan serta Brunei.
#Albert del Rosario #ASEAN #China #Filipina #Laut China Selatan #Spratly
;