ASEAN dan FIFA meterai kerjasama pembangunan sosial serantau

Najib Aroff
November 2, 2019 21:22 MYT
Kerjasama itu bakal menyaksikan FIFA dan ASEAN melaksanakan strategi bersama untuk mempromosi gaya hidup sihat dan penyertaan infklusif dalam sukan bola sepak. - Reuters
ASEAN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) komprehensif bersama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mejadikan sukan bola sepak sebagai pemangkin pembangunan sosial dan gaya hidup sihat rantau ini.
MoU berkenaan ditandatangani Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke 35 di Bangkok, Thailand.
“Di rantau ini, bola sepak dan sukan secara amnya menyatukan penduduk dan mempromosi kesalinghubungan yang lebih hebat antara penduduk rantau ini, dan menyatukan kita sebagai satu komuniti,” kata Jock Hoi.
Majlis turut disaksikan pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita mempunyai misi yang sama meskipun misi anda (ASEAN) adalah lebih besar dari kami (FIFA), namun misi bersama kita adalah untuk memberikan harapan dan senyuman kepada golongan belia kita, dan berikan kegembiraan kepada mereka. Saya yakin jika anda serahkan bola kepada seorang kanak-kanak lelaki mahupun perempuan, mereka akan tersenyum. Inilah kelebihan bola sepak dan kita perlu perluaskan lagi,” kata Infantino.
MoU itu merangkumi pelabagai bentuk kerjasama dengan fokus terhadap pendidikan, terutama melalui pelaksanaan Program Bola Sepak untuk Sekolah FIFA bagi meningkatkan kepakaran dan pendidikan fizikal melalui bola sepak di Asia Tenggara.
Kerjasama itu bakal menyaksikan FIFA dan ASEAN melaksanakan strategi bersama untuk mempromosi gaya hidup sihat dan penyertaan infklusif dalam sukan bola sepak, terutama buat golongan wanita dan masyarakat tertindas.
Selain itu kerjasama juga akan memberi tumpuan kepada mempromosi keselamatan kanak-kanak dalam sukan bola sepak selain menambahbaik integriti sukan dengan meningkatkan tahap kesedaran tentang permainan yang adil dan bersih, serta membanteras gejalah doping.
Pemimpin ASEAN pada awal October lalu bersetuju untuk membida menjadi tuan rumah bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.
Usaha itu akan dimulakan Pengerusi ASEAN 2019, Thailand dengan kerjasama rakan negara lain termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Vietnam.
Antara negara lain yang menunjukkan minat untuk membida prospek tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 adalah China, Mesir, Zimbabwe, Nigeria dan bidaan bersama oleh Australia dan New Zealand.
#ASEAN #bola sepak #FIFA #Gianni Infantino #Lim Jock Hoi #Mahathir Mohamad #perjanjian
;