ASEAN dan EU akan adakan mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama tentang minyak sawit

Bernama
Mei 9, 2024 20:51 MYT
Komitmen ini ditekankan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama ASEAN-EU (JCC) Ke-31 yang berlangsung di Jakarta pada Rabu. - Bernama
JAKARTA: Wakil daripada ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) sedang bersiap sedia untuk Kumpulan Kerja Bersama (JWG) keempat mengenai Minyak Sawit bagi mengukuhkan komitmen mereka terhadap kerjasama dalam sektor penting ini.
Komitmen ini ditekankan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama ASEAN-EU (JCC) Ke-31 yang berlangsung di Jakarta pada Rabu, di mana kedua-dua pihak meneroka laluan untuk perkongsian lanjut.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyatakan mesyuarat JWG menyasarkan untuk "terus menggalakkan persefahaman bersama mengenai pengeluaran minyak sayuran yang mampan dan menangani cabaran di dalam sektor ini secara menyeluruh, telus dan tanpa diskriminasi."
JWG ini nanti akan berdasarkan mesyuarat sebelumnya, termasuk sesi pertama pada Januari 2021, sesi Jun 2022 dan Jun 2023.
Sementara itu, wakil daripada kedua-dua pihak juga memaklumi ancaman rentas sempadan kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan di ASEAN dan EU termasuk keganasan, ekstremisme ganas dan serangan siber.
Semasa JCC, mereka juga menekankan cabaran lain, seperti isu keselamatan maritim, perdagangan haram dan penyebaran maklumat salah dan penyelewangan maklumat.
Menegaskan komitmen mereka untuk mengukuhkan kerjasama ASEAN-EU dan mendukung Kepusatan ASEAN, wakil-wakil berkenaan juga berkata 'Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dan Strategi EU untuk Kerjasama di Indo-Pasifik berkongsi prinsip asas yang relevan.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak akan meneroka potensi kerjasama dalam empat bidang keutamaan AOIP dan tujuh bidang keutamaan Strategi EU untuk Kerjasama di Indo-Pasifik.
Laos telah menggariskan keutamaan dan hasil utama di bawah tema "ASEAN: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Ketahanan" untuk jawatannya sebagai pengerusi pada 2024.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Wakil Tetap Filipina ke ASEAN, Duta Hjayceelyn M. Quintana, dan Ketua Bahagian Asia Tenggara di Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah, Leila Fernandez Stembridge.
-- BERNAMA
#ASEAN #EU #kumpulan kerja bersama #mesyuarat #minyak sawit
;