Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang menyaksikan kedua-dua pihak sepakat untuk mengelakkan sebarang tindakan keganasan di wilayah itu.
Tambahnya lagi, Perdana Menteri China, Li Qiang sendiri memberi jaminan bahawa pertikaian dengan Filipina akan diurus dengan baik mengikut semangat Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
"Kita usulkan, yang dipersetujui semua, termasuk China adalah elak keganasan, gunakan jalur diplomatik, ada rundingan dan saya cadangkan kalau boleh guna jalur ASEAN bersama.
"Tentunya sedikit perkembangan membabitkan Filipina membimbangkan kita dan ia sudah disampaikan (kepada China) dan ada jaminan daripada Perdana Menteri Li Qiang," katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Malaysia secara konsisten terus menekankan kepentingan dan prinsip ASEAN dalam mempertahankan kebebasannya untuk meneruskan dan menjalin hubungan dua hala dengan semua negara.
Katanya lagi, perkara itu yang beliau tegaskan menerusi semua sidang kemuncak dan pertemuan dua hala yang dihadirinya sejak tiga hari lalu.
"Kita meneruskan hubungan baik dua hala dan juga rakan baik, Amerika Syarikat (AS) atau Kesatuan Eropah (EU), namun kita juga meningkatkan hubungan dengan China atau meneruskan hubungan dengan Myanmar supaya kita dapat menjalin kerjasama bagi menyelesaikan masalah serta kemelut politik yang rumit di negara itu.
"Pada masa sama, (Malaysia juga mempunyai hubungan) dengan Rusia, yang tidak disenangi beberapa negara Barat tetapi saya tekankan, sebagai negara bebas dan berdaulat, kita berhak menjalin hubungan dengan semua," katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, pada Jumaat.