ASEAN bincang isu utama yang jejaskan keselamatan serantau

Bernama
September 6, 2024 10:00 MYT
Perbincangan itu menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, kestabilan dan perpaduan dalam kalangan ASEAN melalui usaha sama yang kolaboratif. - Foto Facebook/Vientiane Times
VIENTIANE: Wakil negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Angkatan Pertahanan ASEAN ke-21 bertemu di sini untuk membincangkan isu-isu utama yang menjejaskan keselamatan serantau dan kerjasama pertahanan, lapor Xinhua.
Bercakap pada mesyuarat itu pada Khamis, Timbalan Menteri Pertahanan Laos dan Ketua Turus Angkatan Tentera Rakyat Laos Khamlieng Outhakaysone menyatakan penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas sokongan serta sumbangan mereka, sambil memuji dedikasi mereka dalam memastikan kejayaan mesyuarat tahun ini, lapor akhbar tempatan Pasaxon pada Khamis.
Sepanjang mesyuarat itu, para peserta bertukar pandangan mengenai landskap keselamatan serantau terkini dan membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan matlamat membina kepercayaan bersama, keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menangani cabaran terhadap kestabilan serantau.
Perbincangan itu menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, kestabilan dan perpaduan dalam kalangan ASEAN melalui usaha sama yang kolaboratif.
-- BERNAMA
#ASEAN #Ketua Angkatan Pertahanan #keselamatan serantau #mesyuarat
;