ASEAN berjaya atasi kebanyakan ancaman COVID-19 - PM Kemboja

Bernama
November 11, 2022 15:35 MYT
Hun Sen menggesa negara anggota ASEAN untuk terus berwaspada kerana keadaan sosio-ekonomi semasa di rantau ini serta di seluruh dunia masih rapuh dan berpecah. - Bernama
BANGKOK: Negara-negara anggota ASEAN telah berjaya mengatasi sebahagian besar ancaman COVID-19 dan meneruskan aktiviti sosio-ekonomi dalam tempoh tiga tahun sejak pandemik global COVID-19 melanda dunia.
Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata berdasarkan unjuran Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 Oktober lalu, setiap negara anggota ASEAN dijangka mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang positif.
"Dengan ketabahan dan usaha yang kuat, negara-negara anggota secara individu dan ASEAN secara keseluruhan telah berjaya mengatasi ancaman global ini.
"Rantau ASEAN secara keseluruhan dijangka mencapai kadar pertumbuhan 5.3 peratus dan 4.9 peratus masing-masing pada 2022 dan 2023, angka yang mengagumkan berbanding bahagian lain di dunia," katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat.
Berikutan prospek pertumbuhan yang positif, Hun Sen menggesa negara anggota ASEAN untuk terus berwaspada kerana keadaan sosio-ekonomi semasa di rantau ini serta di seluruh dunia masih rapuh dan berpecah.
"Kita kini berada di persimpangan yang tidak menentu; kehidupan berjuta-juta rakyat di rantau ini bergantung pada kebijaksanaan serta pandangan jauh kita, keputusan dan dasar yang betul termasuk pendekatan realistik untuk menangani cabaran strategik yang kita semua hadapi," katanya.
Beliau menambah blok itu telah mengadakan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN, Menteri Komuniti Sosio Budaya, Menteri Ekonomi, Menteri Pertahanan dan Mesyuarat Menteri lain dengan memuktamadkan keputusan yang memuaskan sambil menzahirkan perpaduan ke arah multilateralisme, kematangan dalam diplomasi, keazaman untuk keamanan, kestabilan dan nilai kemanusiaan untuk semua.
"Saya percaya semangat kerjasama dan sumbangan konstruktif yang ditunjukkan setakat ini akan kekal sepanjang perbincangan kami untuk empat hari akan datang," katanya.
Pemimpin dan wakil ASEAN berkumpul di Phnom Penh bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.
Tema Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan tahun ini adalah "ASEAN ACT: Addressing Challenges Together".
Sempena penubuhan ASEAN ke-55, blok itu akan mengeluarkan Kenyataan Pemimpin ASEAN sempena Ulang Tahun ke-55 ASEAN, termasuk dua yang lain - Penyata Wawasan Pemimpin ASEAN mengenai ASEAN A.C.T: Menangani Cabaran Bersama dan Kenyataan Pemimpin ASEAN terhadap A Kesalinghubungan ASEAN genda Pasca-2025 yang akan diterima pakai lewat hari ini.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, atas kapasitinya sebagai Wakil Khas kepada perdana menteri, mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.
--BERNAMA
#ASEAN #COVID-19 #Samdech Techo Hun Sen #ekonomi #ancaman kesihatan
;