ASEAN-Australia: Malaysia terus gesa gencatan senjata berkekalan di Gaza

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 6, 2024 14:47 MYT
Anwar (lima, kiri) bergambar bersama Albanese serta pemimpin negara ASEAN pada sesi pemukiman sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia. - Foto/ Bernama
MELBOURNE : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyuarakan kebimbangan berkenaan situasi yang berlaku di Gaza semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
Anwar pada masa sama terus menggesa gencatan senjata segera dan berkekalan.
Pada sesi pemukiman sidang kemuncak khas itu, Anwar mengingatkan pemimpin ASEAN dan Australia bahawa semua pihak memainkan peranan penting dalam mengundi untuk menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2023, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan.
"Kita harus menggesa agar permintaan ini direalisasikan serta-merta dan selama-lamanya," katanya.
Anwar menegaskan bahawa hari demi hari, keadaan di Gaza terus bertambah buruk, dan sehingga kini, lebih 30,000 orang awam Palestin terbunuh termasuk lebih 12,000 kanak-kanak, dengan bayi yang tidak berdosa meninggal dunia akibat kelaparan.
“Oleh itu, gencatan senjata segera dan kekal adalah penting,” katanya.
Anwar berkata pemberian bantuan kemanusiaan yang selamat, pantas dan tanpa halangan kepada orang awam di seluruh Gaza mesti disambung semula dan dikekalkan.
“Malaysia merayu masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan lebih berani untuk memaksa Israel mematuhi langkah sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Januari tahun ini dan menggesa semua pihak mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya.
“Malaysia juga menyeru agar masyarakat dunia tidak menilai keputusan siasatan terhadap dakwaan baru-baru ini melibatkan beberapa kakitangan Agensi bantuan dan kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
“Pada masa sama mempertimbangkan semula hukuman kolektif yang dikenakan serta merayu agar sokongan kewangan mereka kepada UNWRA dikembalikan semula,” katanya.
Anwar berkata secara kolektif, ASEAN dan Australia perlu memainkan dalam masyarakat antarabangsa ke arah mencari penyelesaian yang aman kepada konflik itu.
Sebelum sesi pemukiman tersebut, Anwar disambut Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Government House, Victoria.
Agenda diteruskan dengan acara bergambar bergambar bersama Perdana Menteri Australia serta pemimpin negara ASEAN pada sesi berkenaan.
Para pemimpin juga berpeluang melihat secara dekat beruang koala yang cukup sinonim dengan Australia.
#ASEAN #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Gaza #Palestin
;