ASEAN-Australia lancar inisiatif pencegahan pemerdagangan manusia
Bernama
Ogos 1, 2019 05:47 MYT
Ogos 1, 2019 05:47 MYT
ASEAN dan Australia pada Khamis melancarkan satu inisiatif pencegahan pemerdagangan manusia bernilai AUS$80 juta (RM227.44 juta), bagi mempertingkatkan kerjasama serantau dalam membasmi pemerdagangan manusia.
Menteri Luar Australia, Marise Payne berkata program baharu 10 tahun itu merupakan satu lagi inisiatif, untuk memastikan hukuman lebih berat dan melindungi hak mangsa pemerdagangan manusia di rantau ini.
"Kami (Australia) telah bekerjasama dengan ASEAN dan negara anggotanya selama lebih 15 tahun, untuk membasmi pemerdagangan manusia. Kami melatih lebih daripada 13,000 pegawai perundangan yang menyokong sistem perundangan bagi memerangi pemerdagangan manusia dan memberikan perlindungan yang lebih baik untuk mangsa," katanya di majlis pelancaran inisiatif menentang pemerdagangan manusia ASEAN-Australia (ACT) di sini pada Khamis.
Payne berkata pelancaran ACT itu merupakan satu lagi program untuk menunjukkan komitmen bersama Australia dan ASEAN untuk menghentikan pemerdaganan manusia, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
"Kerjasama yang lebih rapat diperlukan, kerana cabaran untuk memerangi pemerdagangan manusia tetap besar. Kita perlukan penyelesaian yang menyeluruh," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tiada negara yang bebas daripada ancaman pemerdagangan manusia, berikutan kemajuan teknologi moden yang telah disalahgunakan oleh pelaku pemerdagangan manusia, yang lebih memperluaskan jenayah merentasi sempadan ini.
Katanya, pelancaran ini tepat pada masanya, ketika komuniti antarabangsa telah mengiktiraf beratnya masalah pemerdagangan manusia ini, kerana ia dapat membantu meningkatkan keupayaan dan perkongsian maklumat dan mempertingkatkan lagi kerjasama negara dan serantau.
"Ia juga akan menggabungkan usaha kerajaan, swasta, organisasi bukan kerajaan, masyarakat dan juga pihak berkepentingan lain dalam menangani masalah global ini.
"Saya percaya perjuangan ASEAN menentang pemerdagangan manusia ini akan lebih berjaya dengan sokongan Australia," katanya.
Australia merupakan Rakan Dialog ASEAN paling lama sejak tahun 1975. Tahun ini ASEAN dan Australia menyambut ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Malaysia merupakan Negara Koordinator untuk Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Pada Mesyuarat Menteri ASEAN-Australia itu, menteri-menteri luar berkongsi pandangan yang Kawasan Baharu Perdagangan Bebas ASEA-Australia (AANZFTA) perlu dikaji semula, bagi meningkatkan jumlah perdagangan yang lebih tinggi.
Mereka menyokong kerjasama yang lebih dalam teknologi digital dan mengikiraf kerjasama yang sedang berjalan bagi mempromosikan hubungan antara manusia ke manusia melalui projek 'Australia Now' dan Pelan 'New Colombo'.
ASEAN juga mengiktiraf peranan aktif Australia dalam pelbagai bidang terutamanya pembangunan sumber manusia dan memerangi pemerdagangan manusia dan keganasan.
Mesyuarat itu juga bertukar pandangan mengenai situasi di Semenanjung Korea dan Laut China Selatan. Mesyuarat turut menerima rancangan tindakan baharu untuk melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Australia 2020-2024.
-- BERNAMA
#ASEAN
#Australia
#jenayah antarabangsa
#keganasan
#Korea Selatan
#Korea Utara
#Malaysia
#pemerdagangan manusia
#rentas sempadan
#Saifuddin Abdullah
#teknologi digital
#teknologi moden