Asaram Bapu dihukum penjara seumur hidup kali kedua

Agensi
Februari 1, 2023 22:32 MYT
Asaram, 81, menggelar dirinya di laman webnya sebagai "Revolusioner Rohani" dan "Guru Hebat,". - Gambar/ Twitter @Hoolmarg1
GUJARAT: Mahkamah India menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap guru ‘kerohanian’ Asaram Bapu atas tuduhan merogol dan liwat, semalam.
Memetik laporan Indian Express, ini merupakan hukuman penjara seumur hidup kedua terhadap lelaki warga emas itu yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup berikutan sabitan pada 2018 kerana merogol seorang gadis berusia 16 tahun.
Peguam Asaram, CB Gupta memberitahu CNN Mahkamah di Gujarat Barat, turut memerintahkan Asaram membayar 50,000 rupee (RM2,559) sebagai pampasan kepada mangsa.
"Kami akan merayu di peringkat penghakiman Mahkamah Tinggi," kata peguam itu.
Asaram, 81, menggelar diri di laman webnya sebagai "revolusioner rohani" dan "guru hebat," dan tersenarai sebagai salah seorang guru kerohanian India yang paling terkenal.
Dikenali sebagai "Bapuji" atau "Bapa" dalam kalangan pengikutnya, dia menjadi terkenal pada 1970-an sebelum membina empayar agama yang luas merangkumi ratusan ribu pengikut.
Dia mempunyai kira-kira 400 sekolah agama di seluruh India dan pelbagai program jangkauan global.
Selepas Asaram ditangkap pada 2013 atas tuduhan rogol pertama, tunjuk perasaan berlaku antara penyokongnya dan pihak polis di beberapa bandar utama.
Pada 2019, Gurmeet Ram Rahim Singh, ketua mazhab kerohanian Dera Sacha Sauda, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan seorang wartawan pada 2002 yang membantu mendedahkan penderaan seksual wanita dalam kumpulannya.
Guru itu sudah menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana merogol dua pengikutnya.
Selepas keputusan pertama terhadap Singh, rusuhan meletus yang menyebabkan 36 orang mati dan ratusan cedera.
#India #Asaram Bapu #guru kerohanian #rogol dan liwat
;