Asap mercun sambutan Diwali lonjakkan paras pencemaran udara Delhi
Agensi
Oktober 28, 2019 06:12 MYT
Oktober 28, 2019 06:12 MYT
Kualiti udara di beberapa bahagian di ibu negara India merosot sehingga ke tahap berbahaya pada Isnin, sehari selepas jutaan penduduk meraikan Diwali dengan bunga api.
Indeks kualiti udara mencecah bacaan 500 di beberapa bahagian di Delhi, termasuk lapangan terbang antarabangsa, pada awal hari Isnin, paling tinggi pernah dicatatkan oleh Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat.
Bacaan yang melebihi 401 diklasifikasi sebagai 'berbahaya'. Pencemaran udara pada paras itu boleh secara serius menjejaskan mereka yang menghidap penyakit respiratori, malah menjadi ancaman bagi mereka yang sihat.
Penduduk bangun pada awal pagi dengan debu yang ditinggalkan jerebu yang masih terperangkap dalam udara sejuk.
Tahap kualiti udara kekal pada paras tidak sihat iaitu 300 sejak awal Isnin pagi, yang boleh menyebabkan gangguan pernafasan jika terdedah untuk tempoh yang lama.
Mahkamah Agung telah mengarahkan agar penduduk menggunakan bunga api yang selamat dan mesra alam untuk tempoh maksimum dua jam, dan permainan bunga api hanya dibenarkan di kawasan yang ditetapkan seperti taman, namun penduduk mendakwa undang-undang itu tidak dipatuhi di beberapa bahagian bandar.
"Mari kita semua menghirup gas beracun dan saling bertukar cerita keindahan sambutan Diwali kita," sindir seorang pengguna Twitter, Divya Sharma.