Asal-usul COVID-19: Saintis gesa penyelidikan baharu bersama atau tanpa China
Astro Awani
April 8, 2021 10:00 MYT
April 8, 2021 10:00 MYT
SHANGHAI: Kajian bersama China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai asal usul COVID-19 tidak memberikan jawapan yang boleh dipercayai mengenai bagaimana virus itu bermula.
Sekumpulan saintis dan penyelidik antarabangsa dalam kenyataan bersama berkata, siasatan yang lebih baik diperlukan secara bersama atau tanpa penglibatan Beijing.
Kajian bersama China-WHO yang dikeluarkan minggu lalu, menyatakan jejak penularan COVID-19 melibatkan kelawar dan hidupan liar lain di China dan Asia Tenggara.
Dapatan itu juga menolak kemungkinan ia bocor daripada makmal.
Dalam surat terbuka, 24 saintis dan penyelidik dari Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun mengatakan kajian itu dicemari oleh kepentingan politik.
Jurucakap kenyataan itu berkata, masalah kajian China-WHO itu adalah keperluan berkompromi untuk mendapatkan sedikit kerjasama dari China.
Surat itu mengatakan kesimpulan kajian itu dibuat berdasarkan kajian China yang belum diterbitkan, sementara catatan kritikal dan sampel biologi "tetap tidak dapat diakses".
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanon Ghebreyesus minggu lalu berkata, China bertindak menahan data daripada didedahkan.
Kenyataan para saintis itu menambah dunia mungkin harus kembali ke Pelan B dan melakukan penyelidikan dengan cara paling sistematik tanpa keterlibatan China.
China juga digesa mendedahkan maklumat yang akan membenarkan hipotesis kebocoran makmal disangkal.