Arnold Schwarzenegger mengakui 'rasa hebat' selepas pembedahan jantung
Agensi
Oktober 24, 2020 17:18 MYT
Oktober 24, 2020 17:18 MYT
LOS ANGELES: Bintang aksi, Arnold Schwarzenegger, pada Jumaat mengakui dirinya berasa lebih hebat selepas menjalani pembedahan jantung, lapor Reuters.
"Saya mempunyai injap aorta yang baharu selain injap pulmonari daripada pembedahan yang sebelum ini. Saya rasa hebat dan sudahpun keluar ke jalanan Cleveland," ujarnya di dalam akaun Twitternya.
Schwarzenegger, 73, memuat naik gambarnya yang memberi isyarat bagus dari katil hospital di Cleveland Clinic, serta mengucapkan terima kasih pada staf perubatan di situ.
Pelakon itu, yang dilahirkan dengan kecacatan jantung, menjalani pembedahan kecemasan pada 2018 bagi menggantikan injap pulmonari.
Schwarzenegger menjadi salah seorang daripada bintang filem aksi terkenal sekitar tahun 1980-an, dengan filem popular seperti Conan the Barbarian dan The Terminator, selain filem komedi Twins.
Pada 2003, Schwarzenegger dilantik sebagai Gabenor California dan banyak memperjuang polisi berkaitan alam sekitar. Selepas mengakhiri penggal perkhidmatannya pada 2011, dia kembali ke layar perak, antaranya muncul dalam The Expendables 2 dan juga sekuel The Terminator.