Argentina, Uruguay berdepan masalah pulih bekalan elektrik

Agensi
Jun 17, 2019 08:57 MYT
Pekerja syarikat tren bawah tanah di Buenos Aires berdiri di bawah lampu kecemasan semasa bandar itu terputus bekalan elektrik pada Ahad. - Foto AP/Tomas F. Cuesta
USAHA mengembalikan belakan elektrik di Argentina dan Uruguay sedang giat dijalankan selepas kedua-dua negara itu terpaksa bergelap akibat bekalan terputus pada Ahad.
Presiden Argentina Mauricio Macri berjanji siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Bekalan elektrik terputus pada 7 pagi waktu tempatan menyebabkan perkhidmatan keretapi terhenti dan lampu isyarat trafik tidak berfungsi.
Siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada masalah rangkaian elektrik yang membekalkan kuasa kepada Argentina dan Uruguay.
Kejadian itu juga berlaku ketika rakyat Argentina bersiap sedia untuk membuang undi dalam pilihan raya tempatan yang menyebabkan pengundian ditangguhkan di beberapa daerah.
Beberapa kawasan di Paraguay dilaporkan turut terjejas.
"Masalah dalam sistem rangkaian elektrik menyebabkan terputus bekalan kepada pengguna di seluruh Argentina dan Uruguay," kata syarikat bekalan elektrik Edesur dalam entri terbaharu di akaun Twitternya.
Jurucakap syarikat tersebut, Alejandra Martinez menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka.
"Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku di seluruh negara," jelasnya.
Menurut media tempatan, insiden ini ada kaitan dengan kegagalan penjanaan elektrik di empangan hidroelektrik Yacycreta.
Namun Menteri Tenaga Argentina Gustavo Lopetegui memaklumkan sistem elektrik negara itu sangat stabil dan punca kegagalan tersebut tidak dapat dipastikan lagi.
"Punca kejadian tidak dapat dipastikan lagi tetapi kami tidak rasa ia berkaitan dengan serangan sivber," katanya pada Ahad.
Presiden Argentina Mauricio Macri berkata bekalan elektrik telah pulih 50% peratus dan keutamaan diberi kepada hospital.
Di Uruguay, syarikat bekalan elektrik UTE memaklumkan bekalan elektrik telah 88 peratus pulih.
Jumlah penduduk di Argentina dan Uruguay adalah sebanyak 48 juta.
Antara wilayah di Argentina yang terjejas termasuk Santa Fe, San Luis, Formosa, La Rioja, Chubut, Cordoba and Mendoza.
Hanya Tierra del Fuego di bahagian selatan negara itu tidak terjejas kerana ia tidak disambungkan pada jana kuasa terbabit.
Di Paraguay pula beberapa kawasan seperti Ayolas, Pilar, Villalbín, Misiones dan Ñeembucú juga terputus bekalan elektrik.
Sementara itu syarikat bekalan air terbesar Argentina, Agua y Saneamientos Argentinos memberi amaran kepada orang ramai supaya menyimpan air kerana keadaan ini boleh menjejaskan bekalan air bersih.
Rata-rata penduduk dari Buenos Aires di utara sehingga Rivadavia di selatan memuat naik bandar mereka di dalam kegelapan dan kereta berbaris panjang di stesen minyak.
"Semua terhenti. Lif tak bergerak, pam air terhenti. Kami terus hanyut dalam kegelapan," kata penduduk Buenos Aires, Juan Borges.
Media tempatan turut menunjukkan orang ramai membuang undi dalam pilihan raya tempatan menggunakan telefon bimbit sebagai lampu.
#Argentina #bekalan elektrik #Mauricio Macri #Paraguay #Uruguay
;