Argentina bayar import China dalam yuan

Bernama
April 27, 2023 19:53 MYT
Pada Januari, Argentina dan Brazil melancarkan idea untuk mencipta mata wang bersama untuk digunakan di rantau ini. -EPA
BUENOS AIRES: Argentina akan mula membayar import China dalam yuan dan bukannya dolar Amerika Syarikat (AS) bagi mengekalkan rizab mata wang asing negara yang semakin berkurangan, kata Menteri Ekonomi Sergio Massa pada Rabu.
"Berikutan kemarau terburuk dalam sejarah, Argentina mesti mengekalkan rizab (asing) yang kukuh," lapor Anadolu Agency memetik Massa selepas pertemuannya dengan Duta Besar China Zou Xiaoli.
Beliau berkata negara itu juga akan memikir dan mentakrif semula strategi import negara bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Argentina mempunyai pertukaran mata wang dengan China yang berperanan sebagai instrumen pengukuhan rizab (antarabangsa) selain instrumen kewangan dan komersial," katanya.
Argentina mensasarkan untuk membayar kira-kira $1 bilion import China dalam yuan dan bukan dalam dolar pada April, dan diikuti kira-kira $790 juta nilai import bulanan akan dibayar dalam mata wang yuan, lapornya memetik kenyataan kerajaan.
Menurut harian tempatan Perfil, Xiaoli menekankan kerjasama yang semakin erat antara Beijing dan Buenos Aires serta lawatan Presiden Alberto Fernandez ke China.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula Da Silva yang melakukan lawatan rasmi ke China pada April bagi mengeratkan hubungan, membayangkan hasratnya untuk beralih daripada pergantungan kepada dolar AS dalam perdagangan antarabangsa.
Pada Januari, Argentina dan Brazil melancarkan idea untuk mencipta mata wang bersama untuk digunakan di rantau ini, menurut laporan itu.
Lula berkata matlamatnya adalah untuk memperkukuh hubungan komersial dan kewangan negara-negara Amerika Latin.
-- BERNAMA
#Argentina #Tabung Kewangan Antarabangsa #dolar AS #yuan
;