Arevalo sah menang dalam pilihan raya presiden, tetapi partinya digantung

Bernama
Ogos 29, 2023 16:36 MYT
Pihak berkuasa pilihan raya Guatemala pada Isnin secara rasmi mengesahkan kemenangan calon berhaluan kiri Bernardo Arevalo (foto) dalam pilihan raya presiden pada 20 Ogos. -Gambar fail/Reuters
MEXICO CITY: Pihak berkuasa pilihan raya Guatemala pada Isnin secara rasmi mengesahkan kemenangan calon berhaluan kiri Bernardo Arevalo dalam pilihan raya presiden pada 20 Ogos.
Arevalo dari parti Movimiento Semilla (Seed Movement) menang dalam pusingan kedua dengan memperoleh 60.91 peratus undi.
Bekas wanita pertama Sandra Torres, yang tidak mengakui kekalahannya, memperoleh 39.09 peratus undi.
Namun, sejurus sebelum pengumuman keputusan akhir, hakim mahkamah membatalkan status partinya, Movimiento Semilla kerana pembentukan parti itu didakwa tidak sah.
Parti itu kini mempunyai tiga hari untuk membuat rayuan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kini, hakim pilihan raya yang mengesahkan kemenangan Arevalo, perlu memutuskan masa depan parti itu.
Proses pilihan raya itu dibayangi percubaan elit politik dan pejabat peguam negara untuk menyekat kemenangan Arevalo, 64, secara sah.
Lima hari selepas pusingan akhir, parti National Unity of Hope (UNE) Torres, yang kalah telah mencabar pengiraan undi dan memfailkan aduan kepada Pejabat Peguam Negara atas dakwaan penipuan pilihan raya.
Arevalo dijangka mengambil alih jawatan pada 14 Jan, menggantikan penyandang Alejandro Giammattei, yang tidak layak untuk bertanding semula selepas penggal jawatannya berakhir.
-- BERNAMA
#pilihan raya Guatemala #Bernardo Arevalo #Movimiento Semilla #parti digantung
;