Arevalo dijangka menang Pilihan Raya Presiden Guatemala

Bernama
Ogos 20, 2023 22:36 MYT
Arevalo dalam kempennya mahu memerangi rasuah dan penghakisan demokrasi di negara paling ramai penduduk di Amerika Tengah itu. - Gambar Reuters/Cristina Chiquin
MEXICO CITY: Guatemala akan memilih presiden negara itu yang baharu dalam pilihan raya pusingan kedua pada Ahad - dengan calon luar Bernardo Arevalo, seorang demokrat sosial, dilihat sebagai calon yang dijangka menang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bekas wanita pertama dan calon presiden tiga kali Sandra Torres juga mahukan jawatan tertinggi itu tetapi Arevalo, 64, jelas mendahului dalam pilihan raya kali ini.
Arevalo dalam kempennya mahu memerangi rasuah dan penghakisan demokrasi di negara paling ramai penduduk di Amerika Tengah itu.
Kira-kira 9.4 juta pengundi akan memilih pengganti Perdana Menteri konservatif Alejandro Giammattei, selepas beliau tidak dibenarkan bertanding semula kerana tempoh penggalnya.
Pusat mengundi dibuka pada 7 pagi (1300 GMT) dan ditutup pada 6 petang (0000 GMT).
Pilihan raya telah dibayangi oleh percubaan oleh elit politik dan pejabat peguam negara untuk menghentikan pemilihan Arevalo dengan cara yang sah. Kesatuan Eropah menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu.
Pada Jun, Arevalo dari parti Movimiento Semilla tanpa disangka telah menjadi calon kedua terkuat dalam pilihan raya pusingan pertama. Tempat pertama dimenangi Torres, 67, dari parti National Unity of Hope (UNE).
Torres pada dua pilihan raya sebelum ini, telah gagal dalam pemilihan pusingan kedua. Dalam tinjauan pendapat untuk pusingan kedua pengundian pada Ahad, lebih 60 peratus responden berkata mereka akan mengundi Arevalo.
Arevalo, seorang ahli sosiologi dan bekas diplomat ialah anak kepada presiden pertama negara itu yang dipilih secara demokrasi, Juan Jose Arevalo (1945-1951). Torres ialah isteri kepada bekas Presiden Alvaro Colom, yang memerintah dari 2008 hingga 2012.
--BERNAMA-dpa
TAG: Guatemala, pilihan raya, pusingan kedua, Bernardo Arevalo
#Bernardo Arevalo #memilih pengganti #memerangi rasuah #jawata tertinggi
;