Arca 'ghaib' dilelong pada harga 15,000 euro

Astro Awani
Jun 2, 2021 10:40 MYT
Menurut Garau ia sebenarnya merujuk kepada keadaan spiritual dan bukan keadaan fizikal seseorang itu. - Foto Instagram/@salvatore_garau
APA pun boleh digelar sebagai hasil karya walaupun ia tidak boleh dilihat.
Seperti cerita pendek turun-temurun kisah raja tanpa baju, seorang pengukir berjaya meyakinkan peminat hasil seni apabila menjual sebuah arca ghaib dengan harga 15,000 euro dalam satu jualan lelong bulan lepas.
Menurut laporan portal berita as.com, harga asal arca tersebut diletakkan antara 6,000 hingga 9,000 euro dan dinaikkan selepas menerima beberapa bidaan.
Hasil karya pengukir warga Itali, Salvatore Garau, 67 tahun, diberi nama 'Io Sono' yang bermaksud 'Saya warga Itali'.
Menurut Garau ia sebenarnya merujuk kepada keadaan spiritual dan bukan keadaan fizikal seseorang itu. Dalam erti kata lain, ia sebenarnya tidak wujud.
Menurut portal Itali 24 News, hasil karya Garau itu perlu diletakkan di dalam rumah persendirian dalam kawasan 5x5 kaki.
Tambahnya, pembeli karya Garau itu akan menerima sijil penjualan yang ditandatangani oleh Garau sendiri.
Garau turut memuat naik video memaparkan hasil karyanya itu di akaun Instagram miliknya.
"Sekarang ia wujud dan akan bertapak di sini buat selamanya.
"Anda tidak melihatnya tetapi ia sebenarnya wujud. Ia diperbuat daripada udara dan semangat seseorang," tulisnya.
#Seni #arca ghaib #lelong #Salvatore Garau
;