Arahan pemindahan tentera Israel halang bantuan PBB
Agensi
Julai 4, 2024 08:45 MYT
Julai 4, 2024 08:45 MYT
SEMENANJUNG GAZA: Perintah pemindahan tentera Israel yang melibatkan satu pertiga daripada Gaza telah memusnahkan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperbaiki penghantaran bantuan kemanusiaan melalui laluan Kerem Shalom.
Menurut Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB di wilayah Palestin, Andrea De Domenico, perbincangan beberapa minggu sebelum ini untuk memulihkan keadaan umpama gagal dengan perintah terbaharu ini.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah banyak berbincang dengan pihak Israel dan komuniti kemanusiaan mengenai cara untuk menyambung semula keupayaan kami membawa bantuan dari Karem Abu Salem ke dalam gaza dan mengedarkannya di seluruh kawasan tersebut.
“Kami telah merancang banyak penyelesaian, mencuba dan menguji, memperbaiki dan kadang-kadang gagal - dan kini dengan perintah pemindahan ini, semua usaha tersebut telah, sekali lagi, dihapuskan,” kata beliau.
Israel sebelum ini mengkritik operasi bantuan yang dipimpin PBB di wilayah yang dihuni 2.3 juta orang itu.
PBB memaklumkan, pengagihan bantuan bukan sahaja terhalang oleh perang sembilan bulan antara Israel dan pejuang Hamas, tetapi juga oleh ketidakstabilan.
Tentera Israel mengumumkan bulan ini akan mewujudkan jeda serangan harian pada waktu siang untuk memudahkan pengumpulan bantuan dari Kerem Shalom.
Namun, PBB mendakwa, ketidakstabilan sebagai membahayakan pasukan penghantar bantuan.
Sehubungan itu, ia mendesak Israel untuk memulihkan ketenteraman awam dan keselamatan di Gaza.
PBB juga telah lama merayu untuk koordinasi yang lebih berkesan dengan tentera Israel bagi operasi bantuan dan kelulusan untuk PBB serta pekerja kemanusiaan menggunakan peralatan keselamatan dan komunikasi penting.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric dan seorang pegawai pertahanan Israel berkata, perbincangan sedang dijalankan mengenai pelbagai pilihan komunikasi yang boleh digunakan untuk operasi kemanusiaan di Gaza.
Dujarric berkata, PBB "tidak memihak kepada mana-mana platform" dan hanya mahukan peralatan komunikasi yang tidak bergantung kepada menara telefon bimbit kerana ia tidak boleh dipercayai. - Agensi