Arab Saudi usir duta Kanada

Bernama
Ogos 7, 2018 12:49 MYT
Kedutaan Arab Saudi di Ottawa, Kanada, pada 5 Ogos, 2018. David Kawai/The Canadian Press via AP
Arab Saudi pada Isnin memberikan tempoh 24 jam kepada duta Kanada untuk meninggalkan negara itu, susulan isu penahanan aktivis wanita baru-baru ini, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut laporan Saudi Press Agency (SPA) pada Selasa, Arab Saudi turut memanggil pulang dutanya ke Kanada Naif bin Bandar Al-Sudairi serta membekukan semua perniagaan dan pelaburan baharu dengan Kanada.
Kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi turut menyatakan, duta Kanada Dennis Horak dianggap sebagai persona non grata.
Langkah itu diambil selepas Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland dan diplomat lain mengkritik tindakan Arab Saudi yang menahan aktivis wanita Arab Saudi baru-baru ini dan menggesa pembebasan mereka.
Kritikan tersebut disifatkan tidak berasas kerana tangkapan dibuat mengikut undang-undang dan menganggap ia sebagai campur tangan dalam urusan dalaman Arab Saudi.
-- BERNAMA
#aktivis #Arab Saudi #Chrystia Freeland #Dennis Horak #diplomat #duta #Kanada #pembebasan #persona non grata #Tidak Berasas
;