Arab Saudi, UAE, Mesir ucap tahniah kepada Erdogan

Agensi
Mei 29, 2023 08:40 MYT
Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dari Arab Saudi mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan setelah beliau diisytiharkan sebagai pemenang dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye yang bersejarah. - Gambar AP
RIYADH: Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dari Arab Saudi mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan setelah beliau diisytiharkan sebagai pemenang dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye yang bersejarah.
Portal Arab News melaporkan, pemimpin berusia 69 tahun itu berjaya mengatasi krisis ekonomi terbesar di Turkiye serta tentangan yang kuat daripada pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran negara itu.
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan turut mengirim ucapan tahniah keada Erdogan sebaik pengumuman kemenangan itu dibuat.
Naib Presiden dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum turut tidak ketinggalan menyampaikan mesej yang sama kepada Erdogan, lapor Emirates News Agency.
Pemimpin dunia lain yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan ialah Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi selain Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Presiden Rusia, Vladimir Putin serta Canselor Jerman, Olaf Scholz.
Menurut Putin, kemenangan yang diraih pemimpin berkenaan adalah bukti rakyat Turkiye menghargai dasar luar yang diperkenalkan oleh Erdogan.
#Recep Tayyip Erdogan #Erdogan menang pilihan raya #Pilihan raya presiden Turkiye #Kemal Kilicdaroglu
;