Arab Saudi tukar hukuman mati seniman Palestin kepada penjara lapan tahun
Agensi
Februari 4, 2016 14:43 MYT
Februari 4, 2016 14:43 MYT
Mahkamah Arab Saudi telah mengubah hukuman mati yang dikenakan ke atas seorang seniman keturunan Palestin menjadi hukuman lapan tahun penjara, atas kesalahan menghina Islam.
Penyair dan seniman kelahiran Arab Saudi itu, Ashraf Fayadh, juga dihukum dengan 800 kali sebatan dengan setiap sesi hukuman dikenakan 50 kali sebatan selain diminta mengisytiharkan taubatnya di media, ujar peguamnya Abdulrahman al-Lahim.
Pada November lalu, dia dijatuhkan hukuman mati di sebuah mahkamah di bandar Abha, kerana menurut hakim, puisinya mencetuskan kemarahan antarabangsa.
Pertuduhan yang dikenakan ke atas Fayadh termasuklah menghina Nabi Muhammad, mempersenda al-Quran dan menyebarkan fahaman Atheisme. Seorang ulama juga mendakwa Fayadh mempersenda Tuhan melalui karya puisinya.
Sewaktu ditahan, pihak polis juga menemui gambar Fayadh bersama wanita dalam simpanan telefon bimbitnya dan perkara itu menjadi asas dalam pendakwaan salah laku moralnya.
Fayadh bagaimanapun menafikan kerana menurutnya, semua gambar wanita itu adalah rakan kumpulan seni yang dikenalinya di tempat kerja, dan gambar tidak diambil dengan cara yang melampau.
Al-Lahim berkata pihak pembelaan merancang untuk merayu keputusan mahkamah, dengan mengatakan bahawa Fayadh tidak bersalah dan perlu dibebaskan.
Selain ahli keluarga, gerakan untuk pembebasan Fayadh juga disokong kumpulan seniman Arab Saudi yang menyatakan bahawa kata-kata serta karya seninya sering disalah erti.
Undang-undang Arab Saudi amat tegas termasuk mengenakan hukuman mati untuk mereka yang melakukan kesalahan seperti membunuh, menyeludup dadah, merompak dengan senjata, rogol dan murtad.